X

Kindly register in order to view this article
!

Pembatalan, penangguhan lebih lama Liga-M beri impak negatif

IZHAM
A
A

PENANGGUHAN yang terlalu lama atau pembatalan Liga Malaysia (Liga M) boleh memberi banyak impak negatif kepada semua pihak yang terbabit dalam industri bola sepak negara.

Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail dengan menjelaskan Liga M adalah sektor profesional yang mana semua pemegang taruh berkait antara satu sama lain.

Katanya, impak negatif bukan sahaja membabitkan pemain dan pasukan, malah peminat juga turut terkesan sekiranya Liga M terus tertangguh atau dibatalkan.

"Pemain bergantung kepada pasukan, pasukan bergantung kepada penajaan, penajaan bergantung kepada penyiaran, selain aspek sokongan penonton, pelabur dan lain-lain. Inilah kitaran yang melengkapkan industri.

"Sekiranya saingan dibatal atau ditangguh, kitaran ini akan terganggu dan seterusnya memberi impak besar kepada industri bola sepak. Malah, dalam masa sama mengganggu momentum persiapan pasukan kebangsaan menjelang kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

"Peringkat komuniti pula terutamanya penyokong, turut mengalami kerugian kerana ada dalam kalangan mereka yang sudah pun membeli pas bermusim, membantu pasukan dengan pembelian 'merchandise' rasmi pasukan dan lain-lain.

"Inilah hakikatnya apabila Liga Induk (Liga M) ditangguh atau dibatalkan, kerana ia memberi manifestasi besar bahawa aktivti sukan yang seumpamanya tidak boleh dijalankan sama sekali, " katanya.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa menunda sepak mula Liga M yang sepatutnya berlangsung pada 26 Februari kepada 5 Mac ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak.

Namun, dengan PKP di seluruh negara disambung lagi hingga 18 Februari ini juga dilihat meninggalkan persoalan adakah MFL sekali lagi perlu menunda sepak mula Liga M.

Selain itu, Izham mengharapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat membenarkan saingan Liga M diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain menjadikan liga Eropah sebagai contoh biarpun kes COVID-19 di sana mencatatkan angka yang tinggi.

"PFAM berasakan tiada masalah untuk MKN membenarkan saingan Liga M berlangsung kerana jika diteliti, setiap pasukan sudah pun menyiapkan diri bagi menghadapi saingan ini dan sangat mengikuti SOP secara ketat setiap kali turun berlatih.

"Berlatih dan bermain dalam stadium lebih memudahkan untuk kawalan keselamatan dibuat. Walaupun saingan dilangsungkan dalam keadaan stadium kosong, tetapi penyiaran masih boleh dilakukan bagi membolehkan pasukan penaja tidak menarik diri atas faktor komersial," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!