Kadar bayaran ESHN naik bagi tahun 2021

Kadar bayaran bulanan ESHN dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan membabitkan seramai 35,000 nelayan yang layak di seluruh negara.
Kadar bayaran bulanan ESHN dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan membabitkan seramai 35,000 nelayan yang layak di seluruh negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menaikkan kadar bayaran bulanan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 sebulan bagi tahun 2021.

LKIM menerusi satu kenyataan memaklumkan, kadar tersebut telah dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan membabitkan seramai 35,000 nelayan yang layak di seluruh negara.

“Pembayaran ESH ini pertama kali dilaksanakan bermula Februari 2021 untuk bayaran bagi bulan Januari.

“Peningkatan kadar ini merupakan cerminan kerajaan yang prihatin terhadap nasib golongan nelayan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu menyebut, program tersebut merupakan bantuan dalam bentuk kewangan yang diberikan pada setiap bulan kepada pemilik vesel perikanan dan pekerja yang layak serta berdaftar.

“Nelayan yang layak dipertimbangkan untuk menerima bayaran ini terdiri daripada nelayan warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

“Selain itu, pemilik vesel perikanan zon A sahaja dan pekerja zon A, B, C dan C2 juga tergolong dalam kategori nelayan yang layak,” katanya.

Pada tahun 2019, kadar bayaran dilaksanakan dengan jumlah sebanyak RM200 sebulan, manakala pada tahun 2020 sebanyak RM250 sebulan diberikan kepada penerima baharu.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, LKIM berharap dengan bantuan tersebut dapat meringankan beban masyarakat nelayan ketika berdepan pandemik Covid-19 dan musim tengkujuh," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Belanjawan 2021 telah memperuntukkan sebanyak RM151 juta kepada MAFI bagi tujuan pelaksanaan program bantuan termasuk program ESHN.