FAM harap AFC dengar suara majoriti

Skuad Harimau Malaya masih belum menjalani kem latihan pusat susulan pelaksanaan PKP ketika ini.
FOTO: FB FAM
Skuad Harimau Malaya masih belum menjalani kem latihan pusat susulan pelaksanaan PKP ketika ini. FOTO: FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju supaya baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dilangsungkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, skuad kebangsaan dan dua lagi pasukan iaitu Thailand dan Indonesia telah menyatakan persetujuan supaya ia ditangguhkan untuk dijalankan secara karnival di UAE.

Namun, beliau memberitahu, Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

"Harapan saya supaya AFC dapat bersetuju kerana majoriti pasukan telah menyatakan persetujuan untuk ia ditangguhkan ke bulan Jun, hanya satu (Vietnam) saja belum.

"Jadi AFC boleh mengambil kira faktor majoriti ini untuk dijadikan panduan dan memandu mereka dalam membuat keputusan,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Mengikut perancangan asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac, namun timbul isu perubahan jadual kelayakan itu dengan beberapa pasukan nampak bersetuju jika ia dijalankan secara karnival pada Jun.

Menurut Mohd Yusoff, FAM kini hanya menunggu keputusan akhir daripada AFC berhubung perkara berkenaan sebelum boleh merangka perancangan buat pasukan negara termasuk memuktamadkan sesi kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Pada masa sama, beliau yang juga pengurus pasukan negara berpendapat UAE lebih berhak diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah sekiranya aksi ditangguh ke Jun memandangkan UAE memiliki baki perlawanan di gelanggang sendiri lebih banyak berbanding Vietnam.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini, UAE lebih banyak beraksi sebagai pasukan pelawat dan berdasarkan senario terkini, tiga daripada empat baki perlawanan mereka akan bermain sebagai tuan rumah, jadi sebab itu kita pun setuju kalau bulan Jun karnival diadakan di UAE," tambah beliau.

UAE dijadual berdepan Malaysia, Thailand dan Vietnam di laman sendiri sementara menjadi pasukan pelawat menentang Indonesia dalam melengkapkan keseluruhan baki empat perlawanan Kumpulan G saingan kelayakan itu.

Vietnam hanya mempunyai satu perlawanan sebagai pasukan tuan rumah menentang Indonesia dalam baki tiga perlawanan.

Selepas lima perlawanan, Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata sementara Vietnam mengumpul 11 mata dan Thailand ketiga dengan lapan mata. UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata dengan kurang satu perlawanan. Bernama