Tanggung malu katerer tak tunai janji

Nur Ellina Mohd Rodzai, 25 bersama suaminya, Zulhairi Arif Zulhisham, 25, menunjukkan gambar kek dua tingkat yang dijanjikan tetapi diberi tidak sepertinya.
A
A

MELAKA - Majlis perkahwinan sepasang suami isteri di sini minggu lalu yang sepatutnya menjadi sejarah terindah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka diperdaya pihak katering setelah gagal menyediakan hidangan pengantin dan lauk-pauk tetamu seperti dijanjikan.

Mangsa, Nur Ellina Mohd Rodzai, 25, berkata, paling mengecewakan apabila kira-kira 1,000 tetamu yang hadir termasuk orang kenamaan (VVIP) ternanti-nanti hidangan makanan dan minuman biarpun jam sudahpun menunjukkan hampir 1 tengahari.

Dia berkata, keadaan itu bukan sahaja membuatkan keluarganya terpaksa menanggung malu malah turut merasakan jumlah RM8,000 dari RM9,150 jumlah keseluruhan yang telah dijelaskan kepada pihak terbabit hanya sia-sia.

"Manakan tidak, majlis yang sepatutnya disajikan nasi minyak, nasi putih, ayam masak merah, daging masak hitam, jelatah, buah tembikai, air asam boi manakala beberapa hidangan seperti papadom, buah jambu asam boi, air sirap dan tambahan lauk yang dijanjikan tidak kelihatan.

"Paling mengecewakan, hidangan makan beradab pun tidak sempurna, yang dihidang hanya seekor ikan siakap masak tiga rasa, udang berhias serta sayur, sedangkan hidang lain yang dijanjikan seperti hati goreng dan hati berempah tidak ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Katil di sini.

Nur Ellina berkata, dia turut kecewa apabila kek dua tingkat yang ditempahnya untuk hari istimewanya juga tiada, sebaliknya pihak syarikat terbabit hanya meletakkan kek setingkat yang mudah diperolehi di mana-mana.

"Pihak terbabit juga berjanji mahu menyediakan khidmat pelayan sajian ketika berlangsungnya majlis makan beradab namun akhirnya kami penganti terpaksa cedok lauk sendiri.

Nur Ellina, menunjukkan lauk tambahan iaitu dalca daging dijanjikan 500 pax tetapi diberi sebanyak itu sahaja.
Nur Ellina, menunjukkan lauk tambahan iaitu dalca daging dijanjikan 500 pax tetapi diberi sebanyak itu sahaja.

"Mereka turut untuk membersihkan dewan selepas majlis tetapi sebaliknya kami sekeluarga pula yang kena bersihkan.

"Niat kami menggunakan khidmat katering bagi memudahkan keluarga tetapi keadaan yang berlaku menyebabkan kami tambah susah," katanya.

Dia berkata, selepas kejadian pihak katering terbabit ada menghubunginya dan mahu membuat permohonan maaf secara terbuka namun semuanya sudah tercalar.

"Kami mengenali syarikat berkenaan di sebuah pasa raya ketika pameran perkahwinan pada Ogos tahun lalu dengan menawarkan pakej RM9,100 untuk hidangan 1,000 tetamu serta makan beradab pengantin dan kek perkahwinan," katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu pihaknya sudahpun membuat laporan polis dan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

“Kami melakukan perancangan selama setahun bagi memastikan majlis persandingan diimpikan berlangsung dengan meriah dan menjadi kenangan paling indah dalam hidup tetapi lain pula jadinya.

“Kami sekeluarga harap pihak yang terbabit insaf dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata dan semoga tiada lagi orang yang kena tipu kerana difahamkan ramai lagi yang sudah terkena,” katanya.