Pencapaian Nicol amat bermakna kepada negara

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia pada Isnin.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” titah Al-Sultan Abdullah menerusi satu kenyataan yang dikongsi di Facebook rasmi Istana Negara pada Selasa.

Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Nicol sebagai kejayaan amat bermakna kepada negara dan suntikan semangat serta kegembiraan kepada seluruh rakyat pada ketika dunia dan negara masih dalam keadaan perit dan bergelut dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada Desmond David dan Ann Marie David iaitu kedua ibu bapa Nicol, atas pengorbanan dan kesungguhan mereka dalam mendidik beliau sehingga mengungguli arena sukan skuasy dunia.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan Nicol menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya dan semoga juara dunia lapan kali itu dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Artikel Berkaitan:

Atlet kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu, yang juga pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut, meraih anugerah itu apabila memperoleh 318,943 undi yang diadakan secara dalam talian sejak 18 Jan lalu.

Jumlah undi diterima Nicol itu jauh meninggalkan pencabar utama yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang mendapat 113,120 undi untuk menduduki di tempat kedua manakala legenda 'powerlifting' wanita dari Ukraine, Larysa Soloviova pula berada di kedudukan ketiga dengan 80,790 undi.

Anugerah tersebut dianjurkan oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sempena sambutan ulang tahun ke-40 acara Sukan Dunia itu yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, California, Amerika Syarikat, pada 1981. - Bernama