X

Kindly register in order to view this article
!

Suu Kyi hanya bebas selama 10 tahun

Tatmadaw melancarkan rampasan kuasa pada Isnin yang menggulingkan pemerintahan awam selama sedekad di Myanmar.
A
A

NAYPYITAW - Penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991 ini pernah diangkat sebagai pejuang demokrasi kerana berani mencabar pemerintahan junta tentera ketika berada di bawah tahanan rumah selama 15 tahun sebelum dibebaskan pada tahun 2010.

Lima tahun selepas pembebasan Aung San Suu Kyi menyaksikan pemerintahan junta tentera juga berakhir selepas Myanmar mengadakan pilihan raya bebas buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun yang menyaksikan kemenangan besar parti pimpinannya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD).

Kejayaan Suu Kyi, 75, mendapat perhatian komuniti antarabangsa dan beliau seterusnya digelar sebagai ikon demokrasi kerana berjaya menumbangkan pemerintahan autoritarian.

Namun, Perlembagaan masih mengekalkan kuasa dan pengaruh tentera sekali gus memberi kekangan kepada Suu Kyi dan NLD yang cuba mempertahankan hak demokrasi yang sememangnya goyah di negara itu.

Situasi itu antara bukti paling jelas mengapa Suu Kyi memilih untuk berdiam diri terhadap tindakan kekerasan Angkatan Tentera Myanmar atau Tatmadaw di negeri barat, Rakhine hingga memaksa hampir sejuta penduduk etnik Islam Rohingya melarikan diri.

Anak kepada hero kemerdekaan, Jeneral Aung San itu turut mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia apabila bertindak mempertahankan tindakan kejam tentera yang didakwa melakukan pembersihan etnik, rogol, penderaan dan genosid ke atas kumpulan minoriti terbabit di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

Suu Kyi mendakwa laporan genosid itu sebagai ‘salah maklumat’ dan menuding jari menyalahkan masalah itu berpunca daripada tindakan ‘pengganas’ di negeri tersebut walaupun PBB bertindak-balas dengan mengenakan sekatan terhadap beberapa pemimpin tentera termasuk Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing yang kini melancarkan rampasan kuasa.

Suu Kyi ketika menyertai mesyuarat di Naypyidaw pada Oktober 2018 bersama Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing yang melancarkan rampasan kuasa dan menahan Penasihat Negara itu bersama beberapa pemimpin awam lain pada Isnin. - Foto: AFP
Suu Kyi ketika menyertai mesyuarat di Naypyidaw pada Oktober 2018 bersama Ketua Tentera, Jeneral Min Aung Hlaing yang melancarkan rampasan kuasa dan menahan Penasihat Negara itu bersama beberapa pemimpin awam lain pada Isnin. - Foto: AFP

Tindakan beliau yang enggan membela nasib etnik Rohingya akhirnya memakan diri berikutan beberapa gelarannya sebagai ikon demokrasi di peringkat antarabangsa ditarik balik.

PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 10,000 terbunuh dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan di Rakhine sejak tahun 2016 dan kira-kira 720,000 pelarian Rohingya terpaksa tinggal di kem sesak di Bangladesh serta berdepan risiko malnutrisi, ancaman banjir dan pandemik Covid-19.

Bukan lagi ‘Mandela Asia’

Walaupun sokongan komuniti antarabangsa semakin menurun, populariti Suu Kyi di Myanmar masih tinggi.

Sebagai bukti, NLD yang dipimpin beliau telah memenangi lebih 322 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti di Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2020 dan melebihi 390 kerusi yang pernah dikuasai parti itu pada tahun 2015.

Walaupun beliau meraih kemenangan besar pada tahun 2015, Perlembagaan melarang Suu Kyi menjadi Presiden kerana anaknya memiliki kerakyatan asing.

Perkara itu tidak menghalang Suu Kyi bergiat dalam politik kerana beliau dilihat sebagai pemimpin de facto dan dilantik memegang jawatan Penasihat Negara.

Sokongan yang semakin meningkat telah mencetuskan kebimbangan tentera yang mula khuatir pengaruh atau kuasa mereka mungkin terjejas jika pemerintahan awam terus memegang tampuk pemerintahan hingga ia mendakwa pilihan raya tersebut dicemari penipuan.

Beberapa pemerhati percaya keengganan beliau mengkritik kekejaman Tatmadaw ke atas penduduk Rohingya demi untuk mengekalkan pemerintahan awam, namun usahanya ternyata sia-sia.

Kira-kira 10 tahun selepas dibebaskan, Suu Kyi kembali semula ke ‘tempat asal’ ketika beliau mula dikenali komuniti antarabangsa iaitu tahanan rumah yang begitu sinonim dengan dirinya.

Situasi beliau yang diletakkan di bawah tahanan rumah pada kali ini agak berbeza kerana Suu Kyi bukan lagi ‘Mandela Asia’ gara-gara sikapnya yang mengunci mulut tentang isu Rohingya.

Suu Kyi ‘berjalan bebas’ untuk bertemu para penyokongnya sejurus dibebaskan daripada tahanan rumah di Yangon pada 13 November 2010. - AFP
Suu Kyi ‘berjalan bebas’ untuk bertemu para penyokongnya sejurus dibebaskan daripada tahanan rumah di Yangon pada 13 November 2010. - AFP

“Barat kini menjadi sangat dingin dengan Suu Kyi. Ia mungkin sukar untuk melihat negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menzahirkan sokongan sama terhadap NLD seperti dibuat pada tahun 1990-an dan pertengahan tahun 2010.

“Pemimpin tentera semestinya menyedari tentang sokongan antarabangsa yang semakin menurun dan mereka mengambil kesempatan daripada situasi tersebut,” kata pakar tentang isu Myanmar di University of Melbourne, Tamas Wells.

Tatmadaw dikatakan telah membuat rancangan dari awal dengan menahan sejumlah besar pemimpin NLD, ahli Parlimen, wakil kumpulan etnik dan aktivis hak asasi manusia untuk memastikan penyokong dan penentang junta tentera tidak melancarkan protes terhadap mereka.

Bekas pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Kelley Currie berpendapat mereka memberkas ‘suspek biasa’ bukan kerana individu tersebut adalah sebahagian daripada NLD sebaliknya kerana kumpulan itu mempunyai sejarah dalam menganjurkan protes sebelum ini.

“Kali terakhir rampasan kuasa berlaku, Facebook dan internet masih lagi belum wujud di negara itu. Perkara sama tentera cuba lakukan pada kali ini,” ujarnya merujuk kepada akses komunikasi dan internet telah disekat serta stesen TV dipaksa menutup operasi ketika rakyat negara itu cuba mendapatkan maklumat tentang situasi rampasan kuasa tersebut.

Kaji selidik pada tahun 2020 yang dilakukan badan pemerhati, People’s Alliance for Credible Elections (PACE) di Myanmar mendapati sebanyak 79 peratus masih meletakkan kepercayaan terhadap Suu Kyi berbanding 70 peratus yang diperoleh tahun sebelumnya.

Tetapi, bagaimana nasib Suu Kyi selepas ini selepas reputasi beliau kian tercalar di mata dunia? - Agensi

Info:

>Suu Kyi telah dikenakan tahanan rumah selama 15 tahun daripada tempoh 21 tahun.

>Pada 1989, beliau pertama kali ditahan dan diletakkan di bawah tahanan rumah sehingga tahun 1995.

>Pada Mei 1990, NLD menang dalam pilihan raya, namun junta tentera enggan menyerahkan kuasa.

>Pada tahun 2000, beliau dikenakan tahanan rumah buat kali kedua kerana melanggar larangan perjalanan ketika cuba ke bandar Mandalay dan dibebaskan dua tahun kemudian.

>Pada tahun 2003, junta tentera dan Majlis Pembangunan dan Keamanan Negara (SPDC) menahan Suu Kyi buat kali ketiga selepas insiden serangan ke atas konvoi beliau.

>Pada Mei 2008, tempoh tahanan rumah beliau dilanjutkan secara tidak sah selama tempoh setahun lagi iaitu sehingga pada Mei 2009.

Pada 13 November 2010, Suu Kyi akhirnya dibebaskan daripada tahanan rumah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!