Covid-19: Kerajaan Kelantan belanja RM2.9 juta bantu rakyat

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM2.9 juta menerusi Pakej Bantuan Khas Berkala bagi membantu rakyat di negeri ini yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbelanjaan itu membabitkan Bantuan Keperluan Asas Makanan serta Insentif Tunai Peniaga Kecil Dan Penjaja Kecil.

"Untuk Bantuan Keperluan Asas Makanan kita peruntukkan sebanyak RM40,000 untuk 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.8 juta," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, sebanyak RM25,000 diperuntukkan kepada peniaga kecil dan penjaja kecil yang layak bagi setiap DUN.

Beliau berkata, kedua-dua bantuan itu akan diagihkan kepada mereka yang layak menerusi Pusat Khidmat (PKD) DUN.

Ahmad berkata, kerajaan Kelantan sentiasa memantau perkembangan dan kesan penularan Covid-19 di seluruh negeri.

Katanya, sehingga kini Kelantan masih belum bebas daripada pandemik Covid-19.

"Melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri pelbagai usaha dan langkah proaktif diambil secara bersepadu untuk membendung penularan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: