10 ahli sindiket keldai akaun diberkas

Barangan yang dirampas daripada sindiket keldai akaun.
Barangan yang dirampas daripada sindiket keldai akaun.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terbabit dengan sindiket pengumpulan kad pengeluaran tunai (ATM) untuk dijadikan sebagai keldai akaun ditahan dalam serbuan di tiga premis di sekitar ibu kota pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua individu berusia antara 27 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 4.30 petang.

"Kita merampas beberapa barangan antaranya 17 telefon bimbit, satu komputer riba, 16 kad ATM, 60 kad sim dan empat buku nota mengandungi butiran pelanggan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada April tahun lalu dengan mengiklankan tawaran di media sosial seperti Facebook untuk menyewa kad ATM mangsa.

Antara individu yang ditahan dalam operasi berasingan di sekitar ibu kota pada 22 Januari lalu.
Antara individu yang ditahan dalam operasi berasingan di sekitar ibu kota pada 22 Januari lalu.

Katanya, kad ATM milik mangsa kemudiannya akan disalurkan kepada sindiket untuk digunakan dan mengaut keuntungan.

"Sindiket itu akan memperoleh komisen sebanyak RM1,000 sehingga RM2,000 bagi setiap kad ATM yang diserahkan manakala mangsa pula akan menerima komisen sebanyak RM300 hingga RM500.

"Sindiket ini kemudian menyerahkan kad ATM kepada sindiket penipuan dengan menyamar rakan, Macau Scam dan tipu belian dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Eng Lai berkata, hasil daripada tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan kes penipuan membabitkan 10 kes di Lembah Klang dan 16 kes di negeri lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam sindiket penipuan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sindiket ini atau sebarang aktiviti mencurigakan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222.