X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Felcra Nasaruddin, peringkat 1 dan 2 di Felda Bersia

Ismail Sabri Yaakob
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Felcra Nasaruddin, Perak Tengah serta di Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1, Felda Bersia, Hulu Perak bermula esok sehingga 16 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan peningkatan kes yang mendadak dengan 28 kes melibatkan kluster di Felcra Nasaruddin dan 45 orang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah (HSO) di lokaliti ketika ini.

"KKM hari ini (Selasa) melaporkan situasi kes Covid-19 di Felcra Nasaruddin, manakala peningkatan kes positif Covid-19 di Felda Bersia, maka atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan tersebut," katanya pada sidang akhbar mengenai PKP di sini pada Selasa.

Beliau berkata di Felda Bersia, KKM telah melaksanakan 51 saringan dan daripada jumlah itu, 20 kes positif direkodkan, yang mana pelaksanaan PKPD untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 800 penduduk.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Batang Padang, Perak yang sepatutnya tamat esok, disambung selama tujuh hari lagi iaitu hingga 10 Februari.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 309 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 27 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan masih terdapat 34 penduduk yang masih menjalani HSO dan seorang kes positif masih dalam tempoh isolasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata PKPD di Blok C Dan Blok Sekolah Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, Johor ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 22 ujian saringan dan kesemuanya positif Covid-19. Bagaimanapun, kesemua kes positif yang diisolasi di kedua-dua blok ini telah sembuh sepenuhnya dan tiada lagi sampel menunggu keputusan," katanya.

Dalam pada itu, mengenai saringan wajib pekerja warga asing, Ismail Sabri berkata, seramai 7,262 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 pada Isnin dan daripada jumlah itu, 85 didapati positif wabak terbabit.

"Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 273,032 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 11,340 majikan dan daripada jumlah itu, seramai 4,952 disahkan positif," katanya sambil menambah, sehingga kini sebanyak 890 buah klinik terlibat dengan program saringan tersebut. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!