X

Kindly register in order to view this article
!

PH gesa EU hormati hak negara membangun dapatkan vaksin Covid-19

A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) menggesa Kesatuan Eropah (EU) menghormati hak negara membangun untuk mendapatkan akses kepada vaksin Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi PH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PH mendesak agar sebarang sekatan eksport vaksin tidak dikenakan.

"Kami berdiri bersama semua negara membangun yang lain dalam menggesa negara-negara pengeluar vaksin untuk menghormati kontrak-kontrak yang telah ditandatangani antara negara-negara dan syarikat vaksin.

"Pada waktu pandemik global ini, semua negara perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah kekurangan vaksin dalam semangat kemanusiaan, kesaksamaan peluang dan menghormati perjanjian," katanya dalam satu kenyataan bersama lapan lagi ahli pasukannya pada Selasa.

Lapan ahli itu ialah Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii; Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming; Exco Kesihatan Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin; Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Exco Kesihatan Negeri Sembilan, S Veerapan.

Dr Zulkefly berkata, gesaan itu dibuat kerana Pasukan Petugas Imunisasi PH risau dengan keputusan terbaharu EU untuk mengenakan sekatan eksport terhadap vaksin yang dihasilkan di negara-negara EU.

Menurutnya, dasar itu menimbulkan rasa bimbang terhadap kemungkinan lahirnya semangat nasionalisme vaksin (vaccine nationalism) di negara-negara pengeluar vaksin.

"Keputusan EU ini sudah pasti akan memberi kesan kepada Program Vaksinasi Covid-19 di Malaysia," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, Pasukan Petugas Imunisasi PH juga menggesa kerajaan Malaysia untuk segera menjelaskan status dan kesan sekatan berkenaan terhadap Program Vaksinasi Kebangsaan bagi Covid-19.

Berdasarkan laporan, katanya, Malaysia tidak termasuk dalam senarai 120 negara yang dikecualikan daripada sekatan eksport lebih ketat bagi vaksin Covid-19 yang dihasilkan di EU.

"Kawalan eksport awal oleh EU terhadap vaksin Covid-19 yang blok tersebut telah tempah termasuk Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca terpakai di antara 30 Januari dan 31 Mac ini. Ia dipercayai akan memberi kesan kepada Malaysia kerana vaksin Pfizer yang kita tempah dihasilkan di kilang di Belgium.

"Kerajaan Malaysia perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kemungkinan kesan sekatan ini terhadap pelaksanaan program vaksin negara, lebih-lebih lagi kerana Malaysia dijangka menerima 144,000 dos vaksin Pfizer bulan ini dan program vaksinasi kebangsaan bagi Covid-19 dijangka bermula bulan ini juga," katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga dijadual menerima sebanyak 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca seawal April sebagai tambahan kepada bekalan vaksin Pfizer untuk fasa vaksinasi berikutnya, yang akan melibatkan inokulasi warga emas dan kumpulan berisiko tinggi terutama yang mempunyai komorbiditi (comorbidity) sedia ada.

Katanya, walaupun kerajaan mempunyai portfolio vaksin lain termasuk vaksin Sinovac dari China yang dijangka tiba dalam suku pertama tahun ini, namun ia belum diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang biasanya akan mengambil masa 60 hingga 90 hari untuk memberi kelulusan.

"Vaksin Sinovac juga telah menunjukkan keberkesanan yang tidak sekata dalam pelbagai ujian klinikal dengan menunjukkan keberkesanan 50.4 peratus dalam ujian tahap akhir di Brazil.

"Semua faktor ini mungkin menyebabkan kelewatan pelaksanaan program vaksinasi. Dengan pertambahan kes Covid-19 dalam negara, kerajaan perlu jelaskan perancangan dan hala tuju dalam mengatasi cabaran ini serta menyatakan pelan alternatif untuk mengawal jangkitan Covid-19 sambil kita menantikan ketibaan vaksin.

"Bagaimana kelewatan ini akan memberi kesan kepada komitmen kewangan kita kepada syarikat-syarikat farmaseutikal? Apakah jangkamasa baharu kerajaan dengan perkembangan terbaharu ini?" katanya.

Dr Zulkefly berkata, kerajaan perlu telus dan menjelaskan kepada rakyat tentang kemungkinan kelewatan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu proaktif merangka pelan mengatasi kesan kelewatan dan menyediakan pelan menyeluruh untuk mengekang wabak virus berkenaan daripada terus menular dalam negara.

"Kaedah respons 'Find, Test, Trace, Isolate, and Support (FTTIS)' perlu diperbaiki segera untuk memastikan jumlah ujian saringan adalah dalam julat lima peratus yang disaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), isu lambakan kes diselesaikan dan pengesanan kontak rapat diperkemas menggunakan aplikasi digital," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!