80 peniaga naikkan harga barang dikenakan notis

Anggota KPDNHEP melakukan pemeriksaan harga barang menerusi Ops Pasar 2021 di Johor Bahru pada Selasa.
Anggota KPDNHEP melakukan pemeriksaan harga barang menerusi Ops Pasar 2021 di Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 80 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada peniaga di negeri ini yang dikesan menaikkan harga barang dalam Ops Pasar 2021 sejak awal Januari hingga Selasa.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, sebanyak 1,362 premis telah diperiksa meliputi 1,193 peruncit, 136 pemborong dan 33 pengilang bagi seluruh daerah di negeri ini.

Beliau berkata, notis tersebut diberikan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

"Operasi ini bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat seperti sayur-sayuran, ikan, daging dan sebagainya di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran.

"Ini berikutan kita menerima aduan berkaitan kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian seperti barang basah dan barang segar berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0," katanya.

Justeru, beliau berkata, KPDNHEP negeri telah menjalankan pemeriksaan ke atas semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan pasar raya yang menjual barangan basah dan segar dalam Ops Pasar 2021.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati peniaga yang melakukan kesalahan berkaitan bekalan dan harga.

"Seramai 200 anggota penguat kuasa KPDNHEP negeri ini akan sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan barangan keperluan harian adalah mencukupi bagi rakyat Johor," katanya.

Artikel Berkaitan: