Kosovo terdesak mahu kemerdekaannya diiktiraf

Ashkenazi (kiri) ketika memeterai deklarasi bersama Haradinaj Stublla secara maya menerusi aplikasi Zoom pada Isnin. - Foto AFP
Ashkenazi (kiri) ketika memeterai deklarasi bersama Haradinaj Stublla secara maya menerusi aplikasi Zoom pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Kosovo mengikut jejak langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan, Maghribi menjadi negara terbaharu mengkhianati Palestin apabila ia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel pada Isnin.

Majlis menandatangani deklarasi bersama antara Menteri Luar Israel, Gabi Ashkenazi dan rakan sejawatannya di Pristina, Meliza Haradinaj Stublla turut diadakan secara maya.

Perjanjian itu turut menjadikan rejim Tel Aviv sebagai negara ke-117 mengiktiraf kemerdekaan Kosovo daripada Serbia yang diisytiharkan pada tahun 2008.

Sebagai tindak balas terhadap pengiktirafan itu, Kosovo turut menjadi negara majoriti Islam pertama mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai 'ibu negara' Israel.

Ashkenazi dalam satu kenyataan memaklumkan, ia adalah pertama kali dalam sejarah hubungan diplomatik dimeterai melalui aplikasi Zoom, malah beliau juga memberi lampu hijau kepada permohonan rasmi dikemukakan Kosovo untuk membuka kedutaan mereka di Baitulmaqdis yang dijangka mencetuskan kemarahan Palestin.

Sementara itu, Perdana Menteri negara Balkan majoriti Islam itu, Avdullah Hoti menyifatkan kesepakatan yang dicapai di bawah Perjanjian Abraham yang dilancarkan oleh pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai usaha penyatuan di peringkat antarabangsa dan rakan di Asia Barat.

Sehingga kini, hanya Serbia dan sekutunya, Rusia serta China dan lima negara Kesatuan Eropah (EU) tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo walaupun diperakui kebanyakan negara.

Sebelum ini, rejim Israel enggan mengiktiraf Pristina berikutan ia enggan menyokong pengisytiharan kemerdekaan secara sebelah pihak kerana bimbang penduduk Palestin akan mengikut jejak langkah mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Menteri Luar Serbia, Nikola Selakovic menzahirkan kekecewaan dengan keputusan dibuat rejim Tel Aviv untuk mengiktiraf bekas musuh perang negara itu. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Kosovo negara kelima jalin hubungan diplomatik dengan Israel