Ebit Lew perlu maklum Pejabat Daerah Semporna

Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai kesedihan Ebit Lew akibat misi bantuan di Semporna, Sabah terpaksa dihentikan.
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai kesedihan Ebit Lew akibat misi bantuan di Semporna, Sabah terpaksa dihentikan.
A
A
A

SEMPORNA - Tiada halangan untuk pendakwah terkenal, Ebit Lew meneruskan misi bantuan beliau tetapi perlu memaklumkan kepada pihak berkaitan sebagai tuan rumah di daerah itu.

Pegawai Daerah Semporna, Suhaimi Ejip berkata, beliau memahami niat ikhlas Ebit Lew tetapi pihaknya tidak menerima kunjungan daripada pendakwah bebas itu sendiri dan hanya memaklumkan tujuannya untuk masuk ke pulau berkenaan selain mahu mendirikan struktur untuk pembinaan sekolah.

"Saya sebagai tuan rumah mengalu-alukan kedatangan beliau dan menghargainya namun apabila kita memasuki 'rumah', kita harus mengetuk 'pintu rumah' terlebih dahulu, namun beliau tidak datang ke Pejabat Daerah Semporna.

"Sebaliknya hanya memaklumkan jadual perjalanannya melalui pembantu peribadinya dan tidak bertemu secara bersemuka menerangkan tujuan dan jabatan yang mempunyai autoriti yang membenarkan individu atau agensi masuk ke daerah adalah Pejabat Daerah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew pilu misi bantuan terpaksa dihentikan

Suhaimi berkata, perkara itu perlu mengikut protokol iaitu permohonan untuk mendirikan struktur melalui proses di bawah Ordinan Tanah Bab 68 (permohonan tanah) terlebih dahulu bagi tujuan pembinaan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan pulau.

Artikel Berkaitan:

"Kita memberi sokongan moral kepada beliau sebagai Muslim namun untuk pembinaan penempatan di bawah seliaan Taman-Taman Sabah (TTS).

"Jika Ebit melalui Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT), mereka juga perlu rujuk kepada Pejabat Daerah. Kalau buat pondok sementara kita mungkin boleh benarkan atas dasar budi bicara namun jika mendirikan kelas KAFA ia bersifat kekal dan pulau itu ada pemilik atau pewarisnya," katanya.

Sehubungan itu, Suhaimi menasihatkan supaya pihak yang ingin melakukan perkara demikian tidak mengambil tindakan melulu dengan melengkapkan barang perkakasan pembinaan tanpa kebenaran tuan tanah terlebih dahulu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat ketika diminta mengulas berhubung isu pendakwah bebas itu tidak dibenarkan memasuki pulau disebabkan isu keselamatan, beliau memaklumkan perkara itu di bawah pengurusan dan kawalan serta tanggungjawab oleh pihak TTS.

"Tidak (bukan isu keselamatan). Ia hanya lebih kepada isu kebenaran masuk dalam kawasan yang diwartakan dan di bawah pengurusan dan kawalan serta bidang tanggungjawab oleh pihak TTS," katanya.

Terdahulu, tular kenyataan daripada pendakwah bebas itu melalui Facebooknya bahawa beliau meminta maaf kepada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang beliau Islamkan di Semporna.

Dalam kenyataan itu, beliau mendakwa tidak dibenarkan masuk ke pulau di Semporna dan diminta untuk menghentikan bantuan selain memaklumkan bahawa beliau boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew sebak satu kampung jadi saudara baharu

'Syukur, 490 penduduk Bajau Laut peluk Islam'