Pasukan baharu peguam bela Trump sedia beraksi

Schoen (kiri) dan Castor perlu memasang strategi dalam tempoh seminggu. - Foto: Agensi
Schoen (kiri) dan Castor perlu memasang strategi dalam tempoh seminggu. - Foto: Agensi
A
A
A

TALLAHASSEE - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pasukan pembelaan baharu terdiri daripada dua peguam terkenal yang akan mengendalikan kes perbicaraan kali kedua beliau di Senat pada minggu depan.

Duo yang dipilih bilionair hartanah itu ialah David Schoen dan Bruce Castor yang pernah berdepan kritikan kerana enggan mendakwa pelakon komedi, Bill Cosby yang berdepan tuduhan melakukan serangan seksual.

Keputusan itu segera dibuat selepas lima peguam yang diketuai Butch Bowers akan membela beliau yang berdepan tuduhan menghasut pemberontakan di Capitol pada 6 Januari lalu menarik diri pada Sabtu kerana gagal mencapai kesepakatan berhubung strategi untuk menghadapi kes tersebut.

Mereka mempunyai tempoh kira-kira seminggu untuk mengatur strategi bagi memastikan Presiden ke-45 AS itu mendapat undi mencukupi daripada senator Republikan untuk mengelakkan sabitan tersebut.

Pada Isnin ini, Schoen dan Castor perlu mengemukakan taklimat praperbicaraan untuk memulakan hujah pada keesokan harinya.

Sumber rapat pasukan peguam itu mendedahkan Bowers dan peguam South Carolina, Deborah Barbier menarik diri kerana Trump mahu mereka menggunakan strategi pembelaan yang bergantung kepada tuduhan penipuan undi seperti didakwa beliau tanpa mengemukakan bukti kukuh sebelum ini.

Ketika perbicaraan usul pemecatan Trump kali pertama pada tahun lalu, beliau diwakili pasukan pembelaan berprofil tinggi termasuk Alan Dershowitz yang merupakan salah seorang peguam bela kes jenayah terkenal di negara itu. - AFP

Artikel Berkaitan: