Kerajaan mula merangka Belanjawan 2022 bagi memastikan langkah lebih strategik

Tengku Datuk Seri Zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memulakan usaha merangka Belanjawan 2022 bagi menangani isu-isu struktur negara semasa melancarkan Belanjawan 2021 bagi memastikan langkah-langkah untuk masa depan negara bukan sahaja strategik, malah bersasar, tepat dan berasaskan hasil.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, merujuk kepada Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), wujud isu-isu struktur yang tidak dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat, memerlukan pertimbangan lebih mendalam serta perancangan jangka panjang.

“Kerajaan telah mula menyediakan idea baharu untuk Belanjawan 2022 walaupun semasa kita melancarkan langkah-langkah Belanjawan 2021 dan Kementerian Kewangan (MoF) melihat idea-idea ini dengan kaedah yang lebih holistik.

"RMK-12 yang akan datang iaitu untuk tempoh 2021-2025 dan Belanjawan 2022 akan menangani isu-isu termasuk dasar modal insan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kita perlu menyusun semula dasar modal insan Malaysia, yang mana, sebagai contoh, siswazah Malaysia berpuas hati untuk bekerja sebagai pelayan restoran di negara jiran disebabkan bayaran yang lebih tinggi, manakala pekerjaan yang disifatkan sebagai kotor, berbahaya dan sukar, dilakukan oleh pekerja asing di sini,” katanya dalam forum bertemakan ‘Menang Bersama: Rebuilding Malaysia's Economy Together,’ pada Selasa.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, situasi itu mencerminkan isu guna tenaga tidak penuh yang serius, berkemungkinan akibat gaji yang lebih rendah kepada siswazah di negara ini, kenaikan gaji yang tidak setanding produktiviti atau peningkatan kemahiran dan ketidakpadanan sistem pendidikan-industri.

“Oleh itu, (kita perlu) tampil dengan penyelesaian yang holistik dan ini memerlukan perancangan jangka panjang dan kerjasama semua kementerian dan sektor swasta untuk menghasilkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran dalam era digital, dan bidang-bidang seperti teknologi pertanian, teknologi pendidikan, mobiliti dan kecerdasan buatan,” katanya.

Mengenai persekitaran, sosial dan tadbir urus dan Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia, Tengku Zafrul berkata, Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama yang sejajar dengan SDG, manakala RMK-12 akan menyediakan rangka kerja yang lebih holistik ke arah pertumbuhan mampan, memperkukuhkan keseluruhan sosioekonomi serta kelestarian alam sekitar yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Covid-19 di seluruh negara dan banjir baru-baru ini telah menekankan keperluan untuk membangunkan ekonomi yang lebih berdaya tahan bagi jangka panjang dan ini memerlukan pelaburan infrastruktur dan enjin pertumbuhan yang terkini dan mampan.

“Untuk itu, MoF telah mula mengkaji semula peranan dan mandat syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Mungkin GLC juga perlu mempunyai indeks prestasi utama (KPI) berkaitan SDG selain KPI kuantitatif mereka. Di samping itu, Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia akan dimanfaatkan oleh seluruh ekonomi termasuk sektor swasta, perlu ada keputusan dasar yang sesuai ke atas masalah sosioekonomi (seperti meningkatkan kualiti sistem pendidikan bagi vokasional dan akademik), yang seharusnya selari dengan dasar kita mengenai industri atau sektor galakan;dan perlu sesuai dengan dasar kita dalam mempelbagaikan ekonomi,” katanya.

Mengenai ekonomi bayangan negara, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan turut memperkukuhkan asas perolehan negara menerusi strategi pelbagai serampang dengan mengawal ekonomi bayangan.

“Mengawal ekonomi bayangan ini akan turut memastikan pekerja sektor tidak rasmi akan dilindungi. Selain itu, kita turut melaksanakan Strategi Perolehan Jangka Sederhana, yang antara lain, akan mempelbagaikan ekonomi kita, menambah baik rangka kerja percukaian bagi mengurangkan ketirisan dan mengurangkan kebergantungan kita terhadap komoditi,” katanya.

Ekonomi bayangan itu diunjurkan pada 18 peratus daripada keluaran dalam negara kasar atau kira-kira RM300 bilion pada 2019. - Bernama