Kedudukan kewangan kerajaan kekal kukuh: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedudukan kewangan kerajaan kekal kukuh dan telah dimanfaatkan dengan baik bagi menangani kejutan Covid-19, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, Fitch Ratings dalam laporannya baru-baru ini turut bersetuju bahawa sasaran defisit Malaysia iaitu 6.0 peratus pada 2020 dan 5.4 peratus tahun ini adalah realistik dan boleh dicapai.

"Ini adalah lebih baik daripada anggaran defisit 10.3 peratus oleh Tabung Kewangan Antarabangsa yang akan dialami oleh ekonomi pasaran sedang pesat membangun," katanya menerusi program Forum Bursa Malaysia yang disiarkan di Bernama TV menerusi saluran Astro 502 pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata, perbelanjaan tambahan melalui pakej rangsangan ekonomi pada tahun 2020 adalah bukti kerajaan mengutamakan hal berkaitan rakyat.

“Setakat ini, pakej rangsangan itu telah memanfaatkan 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan dengan lebih daripada 50 peratus inisiatif disalurkan sehingga kini.

"Daripada jumlah berkenaan, sebahagian besarnya diperuntukkan antaranya untuk langkah-langkah bantuan segera seperti bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin, subsidi upah dan langkah-langkah lain untuk melindungi kehidupan rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan," katanya dalam program yang bertemakan "Menang Bersama: Rebuilding Malaysia’s Economy Together".

Tengku Zafrul berkata, langkah-langkah ini diharapkan dapat menambahkan sehingga empat mata peratusan kepada pertumbuhan tahun 2020.

Pada tahun 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup antara 3.5 peratus dan 5.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

IMF baru-baru ini telah menyemak kembali penguncupan KDNK Malaysia sebanyak 20 mata asas - daripada 6.0 peratus pada Oktober 2020 kepada 5.8 peratus pada akhir Disember. - Bernama