Bayi derita sakit usus, jantung

Muhammad Qhaidnadzir akan menjalani pembedahan kesembilan membabitkan usus dan jantung.
Muhammad Qhaidnadzir akan menjalani pembedahan kesembilan membabitkan usus dan jantung.
A
A
A

BUKIT BERUNTUNG - Anak ketiga dikesan menghidap sakit usus yang tidak berfungsi dan masih ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dilahirkan, Disember 2017.

Situasi itu menyebabkan ibunya Norfazilah Mohd Razi, 32, terpaksa berhenti kerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya pada Jun lalu selepas enam bulan mengambil cuti tanpa gaji.

Norfazilah berkata, hospital kini menjadi rumah pertama apabila sepanjang masa perlu menemani anaknya, Muhammad Qhaidnadzir Razak.

Menurutnya, dua lagi anaknya berusia lapan dan tiga tahun dijaga suami, Razak Said, 38, yang bekerja di sebuah bengkel di Bukit Beruntung.

"Ketiga anak dilahirkan secara pembedahan dan selepas dilahirkan, Muhammad Qhaidi menunjukkan tanda jantung lemah sebelum dikesan mempunyai sakit di bahagian usus.

"Difahamkan usus kecut dan bila beri minum susu, najis akan keluar terus dan kadangkala akan muntah sebab sekarang usus dia dah bengkak.

"Kerana sudah enam bulan ambil cuti tanpa gaji, saya diminta untuk berhenti kerja kerana memandangkan saya kena beri perhatian penuh kepada Muhammad Qhaidi," katanya.

Norfazilah berkata, anaknya itu sudah menjalani lapan pembedahan dan yang kesembilan pada Isnin (hari ini) membabitkan usus dan jantung.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kos pembedahan dan bil hospital perlu ditanggung sendiri namun pihak hospital menyarankan agar dia memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya sudah hubungi JKM dan diminta hadir pada 13 Februari ini untuk temu duga maka saya berharap permohonan saya diterima.

"Jumlah bil belum tahu sehingga dibenarkan keluar hospital selain kos sendiri sebab saya pun terpaksa tinggal di hospital.

"Suami terpaksa ulang-alik dengan menunggang motosikal untuk berjimat sebab pendapatan suami hanya RM1,500 sebulan," katanya.

Norfazilah berkata, dia terpaksa meminta bantuan rakan dan keluarga terdekat untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas yang mencecah RM500 sebulan.

Menurutnya, anak kedua, Muhammad Qhasith pula menghidap asma.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun CIMB Bank 7057200689 atas nama Norfazilah.