'Tutup operasi perniagaan mikro jejas ekonomi golongan B40'

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan menutup operasi perniagaan mikro akan memberi kesan dan menjejaskan pendapatan rakyat miskin, terutamanya golongan B40, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan turut mengambil berat mengenai keselamatan awam, dalam masa sama perlu menjaga kepentingan ekonomi golongan terbabit.

"Mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan bergantung kepada pendapatan harian.

"Kalau tutup terus restoran, warung-warung atau semua perniagaan mikro, tentu mereka tidak boleh 'survive' lagi," katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Awal Januari lalu, kerajaan memeprtimbangkan waktu operasi restoran dan kedai makan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dari jam 8 malam kepada 10 malam.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia susulan rayuan pengusaha restoran dan kedai makan yang mahu waktu operasi mereka dilanjutkan.

Menurutnya, perkara tersebut telah dipanjangkan kepada Ismail Sabri untuk tindakan seterusnya.

Pada 21 Januari, kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran makanan untuk beroperasi sehingga pukul 10 malam bermula 22 Januari lalu, namun tertakluk kepada beberapa perkara.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaan mengambil berat keluhan orang ramai berhubung waktu operasi kedai makan yang singkat.