X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat jagaan orang tua buntu tiada wang urus jenazah

Jenazah warga emas berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai pada jam 2 petang Selasa. Status Sharil di Facebook merayu bantuan orang ramai bagi menguruskan seorang jenazah warga emas yang meninggal dunia pada Selasa.
A
A

KUALA SELANGOR - Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA) terharu atas keprihatinan seorang individu membantu kos pengurusan jenazah seorang warga emas yang meninggal dunia di pusat terbabit pada pagi Selasa.

Pengasasnya, Sharil Hussein berkata, pihaknya pada mulanya buntu kerana tidak mampu menguruskan jenazah warga emas berusia 77 tahun itu yang menelan kos keseluruhan berjumlah RM1,500.

Berikutan itu, katanya, pihaknya terpaksa meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk di media sosial Facebook bagi menampung kos pengurusan jenazah terbabit.

"Alhamdulilah individu itu sudi menghulurkan sumbangan kewangan bagi kos pengurusan jenazah warga emas yang tiada waris.

"Jenazah warga emas yang menghidap kanser prostat itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai pada jam 2 petang tadi (Selasa)," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

Sharil berkata, pusat jagaan yang beroperasi di Jalan Klinik di sini berdepan masalah kewangan sejak mula beroperasi kira-kira setahun lalu.

"Saya menubuhkan pusat jagaan ini dengan modal permulaan pinjaman bank sebanyak RM7,000. Saya akui kami sukar mendapatkan dana memandangkan kebanyakan penghuni di sini pesakit yang menerima rawatan hospital dan mereka yang tidak mempunyai keluarga," katanya.

Malah, beliau berkata, pihak pengurusan juga berdepan kesulitan apabila terdapat dua kes kematian di pusat jagaan itu sebelum ini.

"Bulan lalu sahaja terdapat dua kes kematian dan hari ini (Selasa) satu kes. Kesemua ini memerlukan perbelanjaan kos pengurusan jenazah yang tinggi.

"Saya difahamkan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor ada mesyuarat pada hari ini (Selasa) hendak membantu menyediakan sebanyak 15 set kain kafan bagi membantu kos pengurusan jenazah pada masa akan datang," katanya.

Sebelum ini Sharil memuat naik status di Facebook merayu bantuan orang ramai bagi menguruskan seorang jenazah warga emas yang meninggal dunia pada Selasa.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun 8604-414-483 (Bank CIMB) atas nama SRA Ambulance Service atau menghubungi di talian 019-8791926.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!