Kejatuhan CPI memalukan Malaysia

HASANUDDIN
HASANUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia wajar merasa bersalah kerana amalan rasuah masih menjadi-jadi pada tahun lalu, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Menurutnya, sebagai sebuah negara perdagangan dan pelancongan juga, kejatuhan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) akan menimbulkan persepsi kepada orang luar, sekali gus mempengaruhi pendapatan negara.

"Jika CPI jatuh, maka persepsi orang luar akan mempengaruhi periuk nasi kita juga. Apakah kita tidak sedar kerugian negara yang sangat besar ini?

"Transparency International (TI) Malaysia menganggarkan kerugian negara akibat rasuah berjumlah RM46.9 bilion dalam kalangan sektor awam pada 2017 dan ini sangat mengejutkan.

"Dengan wang sebanyak itu, kerajaan boleh membina 117,250 unit rumah mampu milik prima pada harga RM400,000 seunit. Bayangkan betapa besar kesan rasuah terhadap kesejahteraan rakyat kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ditanya mengenai laporan CPI pada tahun lalu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berjaya memperbaiki keadaan.

"Semasa PH memerintah Malaysia menduduki tangga ke-51 pada tahun 2019 berbanding tangga ke-61 semasa Barisan Nasional (BN) memerintah. Pada 2017, Malaysia menduduki tangga ke-62. Ini sangat memalukan kita.

"Semasa PH memerintah juga, kita memperkenalkan National Anti Corruption Plan (NACP) yang sangat komprehensif dan mendapat pujian badan-badan seperti TI Grandstand," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2019, Malaysia berada di kedudukan 51 dengan skor 53 iaitu skor terbaik negara sejak tujuh tahun lalu.

Negara dinilai daripada sifar hingga 100 di mana sifar dianggap paling korup dan 100 untuk negara yang dianggap paling bersih dan telus.

Transparency International yang mengeluarkan laporan itu berkata, penurunan skor terbabit dapat dikaitkan dengan perubahan mendadak dalam kerajaan susulan 'Langkah Sheraton' pada awal tahun 2020.

Sehubungan itu, Hasanuddin mengesa, 'Reformasi Institusi' yang diusahakan kerajaan PH harus diteruskan.

Dalam pada itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga perlu terus diperkasakan dengan membuat persediaan secukupnya dan lebih bebas seperti melapor terus ke Parlimen.

"Kerajaan juga perlu terus memperkasakan peranan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Imigresen dan lain lain serta memperkenalkan undang-undang pembiayaan politik (political financing law)," katanya.