Warga emas terkena tembakan akibat peluru sesat

Anuar (kiri) meninjau lokasi kejadian insiden tembakan di Taman Tun Dr Ismail di sini pada Selasa.
Anuar (kiri) meninjau lokasi kejadian insiden tembakan di Taman Tun Dr Ismail di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis tidak menolak kemungkinan insiden tembakan di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail di sini pada Ahad disebabkan oleh peluru sesat daripada individu yang sedang membersihkan senjata api.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, lelaki berusia 69 tahun itu mungkin bukan sasaran sebenarnya.

"Kita tidak menolak kemungkinan bahawa tembakan itu mungkin dari jarak kira-kira 500 meter kerana kecederaan yang dialami mangsa agak minimum," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Anuar berkata, siasatan awal menunjukkan bahawa peluru itu mungkin tertembak dari salah satu pangsapuri berhampiran.

"Kita meminta orang ramai untuk tampil ke hadapan jika mereka mempunyai maklumat mengenai kejadian itu," katanya.

Anuar berkata, dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu, mangsa sedang membersihkan dapur restoran berkenaan sebelum merasa sakit pada bahagian ketiak dan mendapati kesan luka pada bahagian tersebut.

"Mangsa kemudiannya ternampak sebutir besi menyerupai anak peluru berhampiran kakinya dan terus ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Anuar meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau balai polis berhampiran.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas cedera ditembak di restoran