Dua kapal asing ditahan bersauh tanpa kebenaran

Sebuah kapal tangki yang ditahan di kedudukan 4.6 hingga 5.5 batu nautika barat daya Kuala Selangor pada Isnin.
Sebuah kapal tangki yang ditahan di kedudukan 4.6 hingga 5.5 batu nautika barat daya Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Selangor menahan dua kapal asing kerana bersauh tanpa kebenaran pada Isnin.

Pengarahnya, Kapten Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, Maritim menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Tengah mengenai sebuah kapal tangki yang dalam keadaan mencurigakan ketika pelaksanaan Op Ehsan kira-kira jam 10 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat itu pihaknya mengesan sebuah kapal tangki pada kedudukan 4.6 hingga 5.5 batu nautika barat daya Kuala Selangor yang berdaftar di Thailand sedang bersauh dipercayai dalam perjalanan dari Dumai, Sumatra ke Pelabuhan Klang.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki itu dikendalikan 18 kru berumur lingkungan 20 hingga 64 tahun termasuk kapten dan jurutera warga Thailand serta mempunyai dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan medianya pada Selasa.

Mohamad Rosli berkata, semasa pihaknya dalam perjalanan mengiringi kapten dan pembantu jurutera kapal tangki ke jeti, Maritim Negeri Selangor mengesan sebuah kapal kargo yang juga disyaki bersauh tanpa kebenaran sekitar jam 12 tengah hari pada Isnin.

“Pemeriksaan dilakukan dan mendapati kapal kargo yang berdaftar di Panama itu dalam perjalanan dari Sri Lanka ke Chittagong dikendalikan 22 kru berumur lingkungan 19 hingga 64 tahun warga Ukraine, Rusia dan Tanzania,” katanya.

Jelasnya, kesemua yang diperiksa itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapten dan pembantu jurutera kedua-dua kapal ditahan di bawah Ordinan perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Justeru tegas beliau, pihaknya akan terus pertingkatkan pengumpulan maklumat dan operasi daripada masa ke semasa dalam usaha menangani perlakuan yang melanggar undang-undang.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS999,” katanya.