Asyik menari 'Ampun Bang Jago', guru tidak sengaja rakam aksi rampasan kuasa

Khing Hnin Wai sedang asyik melakukan gerakan kombinasi tarian dan senamrobik ketika konvoi kenderaan tentera bergerak menuju ke Parlimen untuk melakukan rampasan kuasa di Myanmar pada Isnin. - Agensi
Khing Hnin Wai sedang asyik melakukan gerakan kombinasi tarian dan senamrobik ketika konvoi kenderaan tentera bergerak menuju ke Parlimen untuk melakukan rampasan kuasa di Myanmar pada Isnin. - Agensi
A
A
A

YANGON - Seorang guru wanita secara tidak sengaja merakam kejadian rampasan kuasa oleh tentera Myanmar ketika dia sedang sibuk bersenam dengan iringan lagu ‘Ampun Bang Jago’ yang popular di Indonesia pada Isnin.

Dalam rakaman video itu, Khing Hnin Wai yang merupakan guru pendidikan jasmani di Pyinmana dilihat sedang asyik melakukan gerakan kombinasi tarian dan senamrobik ketika konvoi kenderaan tentera bergerak menuju ke Parlimen untuk melakukan rampasan kuasa.

Apa yang menarik, Hnin Wai seakan tidak menyedari situasi tersebut. Sebaliknya, beliau meneruskan aktiviti senaman itu selama tiga minit 25 saat.

Kebanyakan pengguna di media sosial memberi reaksi yang luar biasa terhadap aksi senamrobik Hnin Wai yang berlatarbelakangkan krisis demokrasi di Myanmar.

Hnin Wai dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, situasi itu dirakam secara tidak sengaja dan dia tidak berniat menjadikan rampasan kuasa tersebut sebagai satu jenaka.

"Aktiviti bersenam di waktu pagi adalah aktiviti biasa yang sering saya lakukan dan tujuan rakaman itu adalah untuk pertandingan.

"Saya bukannya mahu menjadi selebriti dan tidak menyangka video menjadi viral," katanya.

Pada Isnin, Tatmadawi (nama rasmi tentera Myanmar) menahan pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi, termasuk Presiden Win Myint.

Artikel Berkaitan:

Penahanan Suu Kyi dibuat seminggu selepas pemimpin tentera, Jeneral Min Aung Hlaing mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan Myanmar.

Sejak beberapa minggu lalu, pihak Tatmadaw menuduh pilihan raya umum pada November lalu dicemari dengan penipuan undi. - Agensi