Keunikan gaya hidup orang laut di Semporna

No Image Caption
A
A
A

SEMPORNA - Keistimewaan Semporna tidak hanya terletak pada pulau-pulau yang terkenal di dunia tetapi tetapi juga keunikan yang terdapat pada cara kehidupan masyarakat Bajau Laut yang dikategorikan sebagai manusia ‘nomad laut’, ‘gipsi laut’ dan komuniti yang hidup dengan perahu yang masih lagi mengamalkan cara hidup berpindah-randah.

Kebanyakan komuniti ini tinggal di di daerah Semporna seperti pulau Mabul, Boheydulang, Sibuan, Maiga, Mantabuan, Selakan, Tatagan dan Omadal.

Pulau Boheydulang, Selakan, Sibuan dan Mantabuan adalah sebahagian daripada Taman Marin Tun Sakaran juga dikenali sebagai Taman Kepulauan Semporna, yang diwartakan pada tahun 2004 sebagai taman ketujuh Sabah.

Pada 4 Feb lepas penulis telah diberi peluang menyertai sekumpulan pelancong dari China bagi menyambut Tahun Baharu Cina di pulau Mabul.

Penulis tertarik pada gaya kehidupan orang laut ini. Selain bahasa ibunda, kebanyakan daripada mereka, mungkin bukan semua, boleh bertutur bahasa Cina dan Inggeris dengan kefasihan yang sederhana.

Sungguhpun kebanyakannya buta huruf namun mereka menguasai kedua-dua bahasa ini untuk mencari nafkah kehidupan dengan menjual hasil laut seperti udang karang, ketam. ikan, kupang, kerang dan pelbagai jenis cangkerang kepada pelancong.

Dalam banyak perkara mereka menghafal beberapa baris ayat atau perkataan atau hanya menyebut beberapa perkataan mudah.

"Setiap hari kami bertemu dengan pelancong berbahasa Cina dan Inggeris di Mabul, Kami mendengar mereka bercakap dialek mereka dan kami menangkapnya secara perlahan kata-kata yang mereka gunakan untuk bertanya, tawar-menawar dan menolak tawaran kami.

Artikel Berkaitan:

“Kami ingat kata-kata itu dan kemudian ucapkannya apabila bertemu dengan pelancong lain , "kata seorang Bajau Laut berusia 40 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Otok.

No Image Caption

Sejak bertahun-tahun sehingga sekarang mereka tinggal di laut dalam rumah bot yang diperbuat daripada kayu atau pondok yang dibina atas terumbu karang.

Kehidupan mereka bergantung kepada laut dengan menangkap ikan, mengutip kupang dan kerang selain memungut mutiara di pulau-pulau terpencil.

Komuniti Bajau Laut ini terikat dengan laut dan jarang sekali mereka menjejakkan kaki ke daratan.

Apabila mereka berada di darat semalam dua mereka akan ‘mabuk darat’. Mereka akan hanya turun ke darat untuk urusan menjual hasil tangkapan, mendapatkan bekalan air bersih serta mengumpul kayu dan akan kembali ke bot mereka apabila malam melabuh tirai.

Bajau laut adalah penyelam yang luar biasa, dengan kebanyakan mereka menguasai seni menyelam sehingga ke dalaman lebih dari 20 meter sambil menahan nafas selama beberapa minit, dan mereka melakukan ini ketika menangkap ikan, udang kara, timun laut (tripang) dan kehidupan laut yang lain.

Dengan melestarikan jejak nenek moyang, mereka menampung hidup hanya daripada hasil laut,

Selain mempunyai kemahiran luar biasa dalam menangkap ikan dan menyelam mereka juga mahir membina rumah di atas laut dan perahu yang dibina sendiri yang dipanggil ‘lepa’.

Perahu lepa mempunyai dua kaki di sebelah kiri dan kanan bagi memberi keseimbangan ketika mengharungi laut yang bergelora.

Namun nasib orang laut ini masih tidak berubah kerana masih merupakan orang ‘tanpa negara’ sungguhpun kerajaan Sabah berusaha meneliti mereka untuk tujuan kewarganegaraan.

Kebanyakan anak-anak mereka tidak bersekolah kerana tidak mempunyai sijil beranak dan ibu bapa pula tidak mempunyai kad pengenalan. - Bernama