X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya rakyat tempatan kerja di pusat khidmat pelanggan Arab Saudi

Arab Saudi cuba mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi ekoran kejatuhan harga minyak dan penularan pandemik Covid-19 di negara itu. - Foto AFP
A
A

RIYADH - Arab Saudi akan memperuntukkan pekerjaan di pusat khidmat pelanggan hanya kepada warganegara itu bagi memperbaiki tahap pendapatan mereka, kata sebuah kementerian di negara beraja tersebut.

Riyadh yang merupakan kuasa ekonomi dunia Arab kini berusaha untuk menggaji rakyatnya berbanding dengan mengambil para pekerja migran bekerja di Arab Saudi.

Mengambil pekerja-pekerja dalam kalangan warganegara tempatan merupakan satu trend yang semakin berkembang di seluruh negara beraja di rantau Teluk sejak kejatuhan harga minyak pada tahun 2014.

"Pekerjaan di perkhidmatan pelanggan mulai kini akan diperuntukkan kepada rakyat Saudi (Arab Saudi).

"Keputusan itu dibuat dengan hasrat untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk (warga) Saudi (Arab Saudi), membantu memperbaiki pendapatan mereka dan menyokong ekonomi Saudi," kata Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP.

Kadar pengangguran di Arab Saudi mencecah 14.9 peratus dalam suku ketiga tahun 2020 mendekati rekod sebanyak 15.4 peratus yang dicatatkan tahun 2019, menurut satu perangkaan rasmi.

Kira-kira 60 peratus pengangguran di Arab Saudi berumur antara 20 tahun hingga 29 tahun.

Statistik daripada pihak berkuasa itu menunjukkan kadar pengangguran tersebut disebabkan oleh pandemik koronavirus (Covid-19) yang akan berterusan menjejaskan pasaran pekerjaan dan ekonomi Arab Saudi.

Arab Saudi yang menjadi pengeksport utama minyak mentah berdepan dengan krisis kesihatan dan kejatuhan harga minyak di pasaran antarabangsa.

Pada minggu lalu, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengumumkan Dana Pelaburan Arab Saudi yang akan melabur sebanyak AS$40 bilion (RM161.70 bilion) bagi merangsang ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang ketika negara beraja tersebut cuba memerangi kadar penganggurannya. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!