Maritim tahan kapal tunda bawa paip besi

Kapal tunda yang ditahan bersama 13 kru itu dipercayai dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke India.
Kapal tunda yang ditahan bersama 13 kru itu dipercayai dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke India.
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah kapal tunda disyaki berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 4.6 batu nautika barat daya Pulau Dua, Pulau Pangkor di sini.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, perlaksanaan Op Pintas berjaya mengesan kapal tunda membawa paip besi dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 1 petang pada Isnin.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 13 kru, termasuk master terdiri dalam kalangan warga Filipina dan Honduras berusia antara 30 hingga 65 tahun serta mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kapal yang berdaftar di Singapura itu dipercayai dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke India," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Sekiranya didapati bersalah, hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

"Bagaimanapun, kesemua kru bersama kapal ditahan di South East Point (SEP) di perairan Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Shahrizan berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara.

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999," katanya.