Sukan OKU selari misi Perak

Howard Lee (dua, kanan) ketika perasmian Hari Terbuka Sukan Untuk Golongan OKU di Ipoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam Bandar Baru Sri Kleban, hari ini.
Howard Lee (dua, kanan) ketika perasmian Hari Terbuka Sukan Untuk Golongan OKU di Ipoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam Bandar Baru Sri Kleban, hari ini.
A
A
A

IPOH - Penganjuran sukan untuk orang kurang upaya (OKU) di negeri ini selari dengan misi dan agenda Kerajaan Perak untuk menjadikan sukan sebagai salah satu bidang yang menjana ekonomi.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata, kerajaan Perak memerlukan pelaburan daripada pihak swasta dan syarikat besar serta antarabangsa bagi menjayakannya.

"Kita memerlukan pihak swasta terutama syarikat besar dan antarabangsa bersama-sama memajukan sektor sukan kerana sumber kerajaan negeri terhad.

"Adalah tidak memadai sekiranya kita mengeluarkan belanja yang besar dalam pembangunan sukan sedangkan kita boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang ada," katanya selepas Hari Terbuka Sukan Untuk Golongan OKU di Ipoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam Bandar Baru Sri Kleban di sini, hari ini.

Ipoh bakal menjadi perintis projek bagi Hari Sukan Terbuka Untuk OKU yang akan dianjurkan oleh pemilik ladang getah terbesar dunia, Halcyon Agri Malaysia yang beroperasi di Chemor, Perak.

Malah program yang mendapat kerjasama kerajaan Perak dan Bali Sport Foundation (BSF) Asia itu bertujuan menonjolkan kebolehan golongan OKU dalam menyertai pelbagai jenis sukan demi pembangunan sukan negeri.

Menurut Howard Lee, penganjuran hari sukan itu akan menjadi titik permulaan kerajaan negeri bersama pihak swasta untuk menjalin kerjasama dengan rakan strategik dalam pembangunan sukan.

"Keghairahan dan kesudian pihak swasta seperti Halcyon Agri melabur masa, tenaga dan sumber untuk memperkasakan agenda pembangunan sukan para bukan sahaja di negeri ini malah juga satu agenda antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap dengan kerjasama di antara kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri, Halcyon dan BSF Asia ini, ia dapat membuka satu lembaran baru kita untuk menggembleng semua tenaga yang ada untuk memastikan sukan dapat menyatukan kesemua rakyat termasuk OKU," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Halcyon Agri Malaysia, Wang Gee Hock berkata, sehingga kini seramai 80 peserta dari golongan OKU berdaftar bagi menyertai enam jenis sukan akan dipertandingkan iaitu ragbi berkerusi roda, bola keranjang berkerusi roda, boccia, boling padang, badminton dan bola sepak.

"Ipoh adalah cubaan pertama kerajaan negeri menganjurkan sukan bagi OKU bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi sokongan dengan pelbagai pertolongan.

"Sukan boleh menjadikan OKU melakukan sesuatu yang hebat di samping membantu melahirkan keyakinan kepada mereka dan kami bakal menganjurkan sukan tersebut Ogos ini" katanya.