Selangor setuju kurangkan kadar duti hiburan di taman tema

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersetuju mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada 5 peratus bagi setiap pembayaran masuk ke taman tema di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengurangan kadar duti hiburan berkenaan adalah untuk tempoh selama lima tahun bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.

Beliau berkata, kerajaan Selangor bakal kehilangan hasil sebanyak RM21.04 juta setahun susulan implikasi daripada pengurangan kadar itu.

"Diharap kelangsungan industri dan perniagaan akan lebih terjamin serta nasib pekerja terutama dalam sektor pelancongan akan terbela dengan kelonggaran ini.

"Kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian terbaik bagi membantu meringankan kesusahan rakyat saat getir ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, penularan Covid-19 telah memberi kesan kepada banyak sektor termasuk pelancongan yang turut membabitkan pengurusan taman tema di negeri ini.

Katanya, pengusaha taman tema juga merupakan antara pemain industri dalam merancakkan sektor pelancongan di Selangor.

"Pengusaha taman tema memerlukan 'reinvesment cost' yang tinggi berbanding pengusaha premis hiburan lain.

Artikel Berkaitan:

"Mereka memerlukan pelaburan tinggi dalam pengubahsuaian, penambahbaikan fasiliti dan tarikan baharu buat pengunjung," katanya.