Malaysia jangan putus asa!

No Image Caption
A
A
A

BERMULA penghujung November 2020, trend peningkatan jangkitan Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan empat angka.

Kerajaan khususnya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menangani peningkatan kes. Tetapi, melihat kepada trend peningkatan kes harian, timbul persoalan mengapa jangkitan Covid-19 dalam negara terus mencatatkan empat angka walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan hampir ke seluruh negara.

Adakah PKP Fasa 2.0 ini mempunyai kelemahan berbanding PKP Fasa 1.0 yang berjaya menurunkan peningkatan kes dengan drastik?

Ketika ini adalah masa yang kritikal bagi negara dalam usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19. Pembukaan beberapa sektor ekonomi dikatakan antara faktor merebaknya penularan jangkitan berpunca daripada kurang pematuhan majikan dan pekerja terhadap Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Natijahnya, sejak 6 Januari hingga 24 Januari, sejumlah 350 kluster baharu dilaporkan dengan 225 atau 64.3 peratus daripadanya adalah kluster berkaitan tempat kerja dengan sejumlah 28,477 pekerja dikesan positif daripada kluster-kluster ini.

Maka, wajarkah kegiatan ekonomi disekat bagi melandaikan keluk jangkitan? Pastinya tidak. Sektor ekonomi harus terus dibenarkan beroperasi bagi memastikan semua pihak masih memiliki pendapatan dan dapat menanggung perbelanjaan harian. Tindakan pembukaan ekonomi ini juga bagi mengelakkan lebih banyak kerugian yang dilalui negara. Untuk makluman, PKP Fasa 1.0 telah menyebabkan negara menanggung kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari.

Maka, sebagai menghargai ‘jasa’ kerajaan ini, peranan aktif para majikan sangat dituntut dalam membantu mengekang penularan dan peningkatan berterusan kes di tempat kerja.

Kerjasama majikan dalam membantu mengesan kes positif dalam kalangan pekerja mereka juga mampu mengekang penularan jangkitan kalangan pekerja lain, ahli keluarga dan komuniti.

Artikel Berkaitan:

Pelanggaran SOP kalangan masyarakat juga antara punca utama peningkatan berterusan kes. Pematuhan SOP ialah satu aspek kendiri yang dilakukan secara sukarela dan kini menjadi normal baharu dalam kehidupan rakyat Malaysia. Namun kini, penularan Covid-19 dilihat sukar dibendung disebabkan sikap segelintir masyarakat yang masih enggan mematuhi SOP ditetapkan.

Jika diamati, masih ada segelintir masyarakat yang berani melanggar SOP dan tidak mengendahkan kesannya kepada seluruh rakyat Malaysia.

Biarpun hampir setiap hari terdapat individu dikompaun kerana melanggar SOP, namun bilangan yang ditahan polis kerana melakukan kesalahan sama tetap tinggi. Umumnya, tahap kepatuhan SOP PKP Fasa 2.0 ini dilihat sedikit berkurangan berbanding Fasa 1.0. Penurunan kadar kepatuhan SOP ini dipercayai berpunca daripada faktor ‘kelesuan pandemik’ iaitu masyarakat barangkali telah letih dan bosan menyebabkan mereka mengambil pendekatan putus asa untuk terus mengamalkan normal baharu terhadap risiko penularan Covid-19.

Justeru, pemerkasaan masyarakat sangat perlu supaya mereka terus komited dan berperanan secara total dalam memastikan negara berjaya menewaskan virus ini.

Ternyata, sebaik mana pun pelaksanaan PKP Fasa 2.0, ia tidak akan memberi kesan positif seperti diharapkan jika pihak majikan, pekerja dan masyarakat masih tidak memahami kepentingan mematuhi SOP sepenuhnya. Kita tiada cara lain, hanya tingkah laku diri yang berdisiplin menjadi jawapan terbaik kepada usaha pencegahan Covid-19.

Kita pernah berjaya melandaikan lengkuk jangkitan kes, kita pasti boleh melakukannya sekali lagi dengan kerjasama padu daripada semua pihak.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia