Guna restoran mamak untuk PdPR

Sebuah restoran mamak di Puncak Alam yang dilengkapkan kemudahan WiFi dan ruang mencukupi bagi kemudahan anak-anak penduduk di DUN Jeram menjalani PdPR.
Sebuah restoran mamak di Puncak Alam yang dilengkapkan kemudahan WiFi dan ruang mencukupi bagi kemudahan anak-anak penduduk di DUN Jeram menjalani PdPR.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mempelawa ibu bapa di DUN itu yang tidak mempunyai akses internet untuk menggunakan sebuah restoran mamak di Puncak Alam sebagai tempat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mohd Shaid berkata, sekiranya anak-anak penduduk yang ingin menggunakan premis itu sepanjang tempoh PdPR mereka boleh mendaftar di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Jeram.

Menurutnya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemilik Restoran Mamu FZ bagi memohon kebenaran menggunakan premis itu yang turut dilengkapi kemudahan internet jaringan tanpa wayar (WiFi) dan ruang mencukupi sebagai tempat belajar.

"Kami turut menyediakan makanan tengah hari untuk anak anda.

"Saya tahu ramai ibu bapa yang parkir kereta di pasar raya selama tiga hingga empat jam untuk mendapatkan (liputan) internet," katanya yang memuat naik status di Facebook beliau pada Isnin.

Beliau memberitahu, beberapa kawasan seperti Bukit Hijau dan Alam Perdana amat memerlukan liputan internet sepanjang tempoh PdPR.

"Selain Itu, ada juga ibu bapa yang tidak mampu membeli data internet," katanya.

Mohd Shaid sebelum ini turut membantu penduduk di DUN Jeram yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memberikan makanan percuma pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut merancang menyediakan makanan percuma selama lima hari menerusi inisiatif yang dinamakan 'kantin rakyat' dengan bungkusan makanan tengah hari dan malam bermula Februari.