Anwar mahu pemimpin ASEAN bersuara bebas pemimpin Myanmar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin-pemimpin dunia dan ASEAN untuk menggembleng suara bagi pembebasan pemimpin-pemimpin Myanmar.

Anwar berkata, pihak tentera sewajarnya mempertahankan aspirasi demokratik rakyat dan menggesa untuk menghormati serta melindungi pilihan yang dibuat oleh rakyat.

“Tindakan yang dilakukan hanya akan membalikkan aspirasi rakyat dan menuju ke pemerintahan diktator,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, perkembangan terkini di Myanmar sangat merungsingkan, seolah-olah pihak tentera cuba untuk merampas kuasa pemerintahan sebelumnya.

“Perbuatan ini akan menenggelamkan suara rakyat dan demokrasi.

“Demokrasi di Myanmar masih di peringkat permulaan dan mempunyai masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak harus menjunjung perlembagaan dan mandat rakyat serta akur dengan keputusan demokrasi.

“Ia belum terlambat untuk melakukan yang sepatutnya untuk bangsa dan rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, perkembangan terkini di Myanmar yang dilapor menyaksikan rampasan kuasa oleh tentera pada awal Isnin dengan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar U Win Myint dan lain-lain pegawai kanan ditahan di ibu kota Naypyidaw.