Haniff Khatri persoal tahap profesionalisme Tommy

Gambar dari kiri: Mohammed Haniff Khatri, Tommy Thomas
Gambar dari kiri: Mohammed Haniff Khatri, Tommy Thomas
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas peguam kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Mohammed Haniff Khatri mempersoalkan tahap profesionalisme bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas susulan laporan media berhubung kandungan bukunya yang bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Menurut Mohammed Haniff, Tommy perlu kekal berpegang kepada prinsip asas 'kepentingan peguam-pelanggan', antaranya untuk tidak mendedahkan sebarang nasihat yang diberi sepanjang perkhidmatannya ketika memegang jawatan itu.

"Kecuali dalam keadaan yang dibenarkan undang-undang, (nasihat) tidak boleh didedahkan kepada umum, memandangkan struktur integriti dan kepercayaan perundangan akan terjejas jika ia dilakukan tanpa pertimbangan, apatah lagi oleh Peguam Negara atau bekas Peguam Negara," katanya.

Mohammed Haniff turut menyangkal pandangan Tommy bahawa tindakan bekas Perdana Menteri itu meletakkan jawatan secara sukarela pada Februari tahun lalu telah mencetuskan kemelut politik yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, Dr Mahathir tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan meletakkan jawatan susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH hilang majoriti, kata Mohammed Haniff.

Dalam pada itu Mohammed Haniff berkata, Tommy mencetuskan kontroversi atas dakwaan Dr Mahathir masuk campur dan mahu menjadi Perdana Menteri sementara, di saat Yang di-Pertuan Agong mencadangkan Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan itu.

"Kenyataan Tommy perlu disahkan benar atau tidak, kerana ia telah mengheret nama baik Yang di-Pertuan Agong dalam konflik disebabkan hal yang tidak diketahui sebelum ini," katanya

Artikel Berkaitan: