Puas hati prestasi ketua kampung

Asmuni (tengah) bersama Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (enam, kiri) dan tetamu jemputan ketika melancarkan Pusat Khidmat Adun Manjoi, di sini.
Asmuni (tengah) bersama Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (enam, kiri) dan tetamu jemputan ketika melancarkan Pusat Khidmat Adun Manjoi, di sini.
A
A
A

CHEMOR - Kerajaan Perak setakat ini berpuas hati dengan perkhidmatan ketua kampung yang dilantik.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, pihaknya, tidak menerima sebarang maklum balas negatif terhadap ketua-ketua kampung yang baharu itu.

Bagaimanapun beliau mengakui ketua-ketua kampung yang baru dilantik itu berhadapan masalah dari segi penerimaan masyarakat.

"Setakat ini prestasi ketua kampung saya tak terima yang negatif, mereka rajin bekerja, laporan daripada bawah juga baik cuma penerimaan masyarakat terhadap ketua kampung baharu ada masalah.

"Walapun begitu, kita kena banyak bersabar, layan mereka secara diplomasi. Secara keseluruhannya saya berpuas hati," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Pusat Khidmat ADUN Manjoi dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 di No.11, Jalan Chemor Aman, di sini.

Menurut Asmuni, kesemua ketua kampung yang dilantik itu sedang dipantau dan dinilai prestasi mereka.

Beliau berkata, walaupun tempoh perkhidmatan ketua kampung selama dua tahun sehingga 2020, jika berlaku sesuatu perkara yang tidak baik berlaku atau prestasi tidak berubah, mereka boleh diganti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai pelancaran Pusat Khidmat ADUN Manjoi itu, beliau berkata, ia merupakan pejabat kedua dibuka selepas di Gugusan Manjoi.

Menurutnya, pembukaan pusat khidmat itu akan mendekatkan lagi rakyat dengan kerajaan selain membolehkan rakyat menyalurkan aduan atau meminta bantuan.

Asmuni berkata, pejabat itu akan dimanfaatkan hampir separuh penduduk di dalam kawasan Dun Manjoi khususnya yang tinggal Chemor dan Klebang.

Katanya, orang ramai boleh berurusan di pejabat itu setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.