KWP peruntuk RM750,000 agih bakul makanan

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukkan sejumlah RM750,000 untuk 13,000 bakul makanan yang akan diberikan kepada kawasan-kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata setiap kawasan Parlimen akan menerima 1,000 unit bakul makanan yang akan diberikan secara ‘one-off’ kepada golongan miskin bandar dan B40 dalam usaha memperkukuhkan kebajikan warganya.

"Bakul makanan berisi barangan keperluan asas ini diagihkan secara terus ke kediaman golongan sasar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP)," katanya selepas mengagihkan Bakul Makanan Kenduri Rakyat Hari Wilayah Persekutuan 2021 (SHWP2021) di Wangsa Maju di sini yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi KWP pada Isnin.

Program Kenduri Rakyat yang dilaksanakan setiap kali SHWP merupakan satu daripada ‘signature’ program Hari Wilayah Persekutuan pada setiap tahun.

Menurut Annuar, ia merupakan usaha KWP yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif Wilayah Prihatin yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warganya.

"Tetapi, tahun ini kita semua sedang bertarung memutuskan rantaian Covid-19 yang tidak membenarkan pelaksanaan program di lapangan.

"Oleh itu, kita menggunakan kaedah baharu dengan mengagihkan bakul makanan dan beras melalui program MyBeras@Wilayah kepada golongan sasar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam suasana norma baharu," katanya.

Dalam pada itu, Annuar menyeru kepada setiap warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama meraikan SHWP2021 secara kreatif dengan berkongsi gambar serta video menerusi media sosial dengan meletakkan tanda pagar #WilayahPersekutuanWilayahPrihatin dan #kibarbenderaWP.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dalam suasana norma baharu, program SHWP2021 tetap berlangsung dan dilaksanakan secara maya seperti Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan, Wilayah Persekutuan Bermunajat, Pameran Digital Wilayah Persekutuan, Program CSR Hari Wilayah Persekutuan, Pencahayaan Wilayah Persekutuan, Khutbah Jumaat Khas Hari Wilayah Persekutuan, ROL Virtual Bike and Run, Pertandingan Fotografi Jelajah Labuan dan Virtual Muzikal Wilayah Prihatin.

"Pencahayaan Wilayah Persekutuan merupakan satu program baharu tahun ini dengan tujuan menggalakkan orang ramai dan semua pemilik bangunan untuk menyalakan lampu dengan suasana perayaan pada waktu malam supaya Wilayah Persekutuan sentiasa bercahaya sepanjang Februari ini.

"Melalui cara ini dapat menarik perhatian dan minat semua rakyat untuk bersama-sama keluarga duduk di rumah masing-masing dalam suasana meriah serta ceria sekali gus dapat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Annuar berharap dengan pelaksanaan aktiviti berbentuk keprihatinan dan kebajikan ini akan dapat memberi manfaat yang besar kepada warganya yang memerlukan sebagai usaha memupuk dan membudayakan penghayatan terhadap sifat keprihatinan dan kecaknaan terhadap warga kota Wilayah Persekutuan.- Bernama