Kelas KAFA di TV AlHijrah bantu pelajar tidak tercicir

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Isnin melancarkan rancangan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) d’Hijrah di TV AlHijrah sebagai Musaadah Covid-19 pendidikan.

TV Alhijrah dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan rancangan pembelajaran KAFA di televisyen dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mula bersiaran hari ini (Isnin).

Orang ramai boleh menontonnya setiap Isnin hingga Sabtu dari 4.30 petang hingga 5 petang di saluran TV Alhijrah manakala siaran ulangan pada 11.30 pagi dan 6.30 petang.

Sementara itu, Zulkifli berkata usaha TV AlHijrah, JAKIM dan JAWI bekerjasama dalam program KAFA d’Hijrah adalah strategi baik bagi mengisi kekurangan pedagogi moden pembelajaran ketika ini agar pelajar tidak tercicir dalam meneruskan proses pembelajaran ilmu agama.

“Ibu bapa juga digalakkan menonton siaran KAFA d’Hijrah bersama anak-anak agar ilmu itu dapat didalami bersama seisi keluarga,” katanya.

Zulkifli turut menzahirkan sokongan atas usaha TV AlHijrah, JAKIM dan JAWI yang dilihat amat bertepatan ketika ini dalam mengalirkan ilmu kepada anak-anak di rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata TV AlHijrah menerbitkan rancangan KAFA d’Hijrah bagi mengisi kelompongan sesi pembelajaran di rumah ketika ini berikutan keterbatasan kemudahan seperti capaian Internet, komputer riba dan telefon bimbit.

“Minggu pertama bulan ini adalah minggu pembelajaran bab satu al-Quran buat pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 diikuti subjek Ibadah pada minggu kedua, Sirah (minggu ketiga) dan Jawi serta Khat (minggu terakhir Februari).

Artikel Berkaitan:

“Subjek Bahasa Arab akan disiarkan pada minggu pertama bulan Mac diikuti subjek Akidah (minggu kedua) hingga selesai pembelajaran untuk bab satu,” katanya.

Beliau berkata rancangan itu dimulakan dengan peringkat sekolah rendah dan akan dilebarkan skop pembelajaran kepada peringkat menengah.

TV AlHijrah turut menyeru rakan korporat untuk menjayakan misi KAFA d’Hijrah dengan menjadi rakan penaja rancangan itu. - Bernama