X

Kindly register in order to view this article
!

MARA nafi MRSM Sungai Besar tidak patuh SOP penularan Covid-19

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan operasi sanitasi di MRSM Sungai Besar.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menafikan tuduhan yang tular di aplikasi WhatsApp berhubung kegagalan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19 di maktab terbabit.

MARA menerusi kenyataannya memaklumkan, pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sejak wujudnya gejala dan kes kontak rapat dalam kalangan pelajar.

Kata kenyataan itu, MRSM Sungai Besar telah mengambil tindakan segera dengan mewujudkan 'task force' yang beroperasi 24 jam sejak hari pertama gejala Covid-19 dikesan di maktab tersebut.

"Task force ini diketuai pengetua dan dianggotai guru serta kakitangan bagi membuat kerja-kerja pensanitasian setiap hari dengan nasihat serta pemantauan daripada pihak bomba.

"Sanitasi keseluruhan bangunan maktab telah dilakukan oleh pihak bomba pada 29 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu memaklumkan, MARA sentiasa memastikan pelajar mengikuti SOP ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut kenyataan itu, pelajar bergejala telah diasingkan daripada pelajar yang sihat di blok lain serta menggunakan tandas berlainan.

"Pengasingan ini telah dibuat sejak 24 Januari lalu yang mana pelajar ini diasingkan mengikut kategori dan ditempatkan di aras serta blok yang berbeza termasuk penggunaan tandas yang berasingan di bawah pemantauan PKD.

"Di samping itu juga, pelajar lain turut dikawal pergerakan dengan mewujudkan sekatan-sekatan laluan yang perlu untuk memastikan pengasingan dan penjarakan dilaksanakan secara teratur mengikut SOP keselamatan," katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, salah seorang pelajar yang bergejala tetapi tidak kritikal juga telah ditempatkan di MAEPS, Serdang.

Mengulas mengenai isu kekurangan makanan dan peralatan pencegahan, kenyataan itu memaklumkan pelajar yang dikuarantin di blok asrama dibekalkan dengan makanan dibungkus setiap hari mengikut menu dewan selera di samping makanan tambahan seperti buah-buahan dan minuman tertentu yang diperlukan pelajar.

"Selain itu, setiap pelajar dibekalkan pelitup muka dan 'hand sanitizer' (cecair pembasmi kuman) bagi memastikan kebersihan dan langkah pencegahan jangkitan.

"Pihak maktab juga mengambil langkah penjagaan dengan setiap warden dan guru bertugas disediakan pakaian pelindung diri (PPE)," katanya.

Sehubungan itu kenyataan itu memberitahu, MARA juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan terbabit pada Isnin.

"Ibu bapa dinasihatkan untuk terus menghubungi pihak pengurusan maktab jika timbul sebarang kebimbangan tentang anak-anak mereka di maktab ini," katanya.

Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp yang membuat tuduhan terhadap MRSM Sungai Besar dikatakan gagal mematuhi SOP bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Kandungan mesej antara lain mendakwa pelajar MRSM Sungai Besar tidak mendapat bekalan makanan secukupnya dan dakwaan pelajar bergejala tinggal di asrama yang sama dengan pelajar sihat akibat tiada tempat pengasingan.

Selain itu, turut dikaitkan dakwaan seperti wujudnya masalah berkaitan SOP keselamatan melibatkan sanitasi, pembekalan pelitup muka dan sebagainya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!