Henti salahkan pekerja asing: CAP

Mohaideen Abdul Kader
Mohaideen Abdul Kader
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membidas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengurusan kawasan kediaman dan kondominium untuk membuat ujian calitan Covid-19.

Presidennya, Mohaideen Abdul Kader menyifatkan kenyataan itu menyasarkan warga asing apabila mereka perlu membuat ujian berkenaan sebelum dibenarkan untuk memasuki premis.

Menurutnya, Akta Pengurusan Strata (SMA) 2013 tidak menyatakan atau membenarkan badan pengurusan bersama atau perbadanan pengurusan untuk memaksa penghuni menyerahkan hasil ujian swab mereka atau menghalang mereka jika gagal untuk mematuhinya.

"Kenyataan yang menyasarkan orang asing itu adalah tidak bijak terutamanya apabila ia datang daripada seorang menteri kerana ia boleh mencetuskan serangan xenofobia terhadap pekerja asing yang telah membuat sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Jika beliau merujuk kepada pekerja asing kilang yang ditempatkan di flat kos rendah maka kerajaan perlu dipersalahkan kerana tidak memastikan penginapan yang sempurna untuk pekerja asing ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sebelum ini kenyataan Ismail Sabri berkenaan perkara itu mencetuskan kritikan banyak pihak dan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Difahamkan beberapa badan pengurusan pangsapuri sebelum ini dilaporkan mewajibkan penduduk menjalani ujian Covid-19.

Bagaimanapun, beberapa pakar berkata, badan pengurusan tiada hak di sisi perundangan untuk berbuat demikian selain pakar kesihatan awam selain menyifatkan ia tidak membantu mengekang penularan wabak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Mohaideen berkata, kini kerajaan mengarahkan majikan untuk memastikan semua pekerja asing menjalani ujian Covid-19.

"Kami ingin bertanya sama ada keputusan ujian sebulan lalu masih sah atau mereka perlu membuatnya setiap dua minggu?"

"Andainya pihak pengurusan memaksa pekerja asing menunjukkan hasil ujian swab Covid-19, hampir tiada seorang pun daripada pekerja ini mampu menjalani ujian jika majikan tidak mahu membayar untuk mereka. Pekerja asing tidak seharusnya dijadikan kambing hitam bagi situasi Covid-19 yang semakin buruk," katanya.

Beliau berkata, situasi pandemik menjadi lebih buruk selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September tahun lepas, dan apabila perjalanan rentas daerah dan negeri dibenarkan pada 7 Disember 2020.

"Adakah itu bermakna bahawa jika seseorang itu tidak mampu untuk menunjukkan hasil ujian swab terpaksa tidur di jalanan tidak kira sama ada mereka dijangkiti atau tidak?

"Kami menggesa pihak berkuasa supaya mencari penyelesaian yang rasional untuk mengekang penularan pandemik dan pada masa yang sama memastikan orang asing tidak menjadi mangsa," katanya.