KPLB kerjasama kementerian lain tangani isu PdPR

Abdul Rahman (kanan) pada Program Memperkasa Community Survillance serta Penyerahan Set Bakul Makanan Kepada 69 penduduk orang asli di Kampung Chang Sungai Gepai, Bidor pada Isnin.
Abdul Rahman (kanan) pada Program Memperkasa Community Survillance serta Penyerahan Set Bakul Makanan Kepada 69 penduduk orang asli di Kampung Chang Sungai Gepai, Bidor pada Isnin.
A
A
A

TAPAH - Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk membantu pelajar khususnya kalangan orang asli yang terkesan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, terdapat dua masalah utama yang sering dibangkitkan ketika ini iaitu capaian internet yang lemah atau tiada langsung serta tidak mampu memiliki gajet seperti komputer dan telefon.

Menurutnya, kedua-dua isu itu kini dalam perhatian setiap kementerian untuk membuat diselesaikan bagi memastikan pelaksanaan PdPR berjalan lancar.

"Perkara ini memang selalu kita bincangkan termasuklah dalam group WhatsApp dan sudah pasti kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mengatasinya.

"Kalau diarahkan kementerian untuk bantu, kita akan turun padang dan berjumpa dengan masyarakat luar bandar yang terkesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Memperkasa Community Survillance serta Penyerahan Set Bakul Makanan Kepada 69 penduduk orang asli di Kampung Chang Sungai Gepai, Bidor pada Isnin.

Menurutnya, kementerian menyedari kepentingan pendidikan kepada masyarakat orang asli, namun tidak semua berkemampuan menyediakan akses kepada pembelajaran baharu secara atas talian.

"Tok Batin sendiri ada menyatakan dalam keadaan Covid-19 sekarang, mereka juga bimbang untuk membenarkan anak ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya percaya sekiranya keadaan ini berterusan, kerajaan akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasinya berdasarkan cadangan-cadangan oleh Kementerian Pendidikan itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Chang, Dahil Yokchopil berkata, hampir 90 pelajar orang asli di kampung tersebut masih bersekolah, namun rata-rata tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Katanya, ibu bapa juga tidak dapat banyak membantu proses PdPR kerana masing-masing buta huruf.

"Saya bimbang tentang masa depan mereka. Mereka benar-benar ketinggalan dalam pendidikan. Saya juga bimbang mereka kehilangan minat untuk bersekolah. Saya harap kerajaan akan melakukan sesuatu untuk membantu kita," katanya.

Dalam lawatan itu, Abdul Rahman turut meninjau keadaan semasa Kampung Orang Asli Batu 6 di Jalan Pahang di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak 21 Januari lalu.

Sebagai rekod, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah menyalurkan bantuan bakul makanan kepada 140 ketua isi rumah di kampung berkenaan sebagai bekalan makanan sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.