'Syukur anak-anak tidak perlu lagi berkongsi telefon pintar'

Anak-anak Zulhashimi gembira menerima dua tablet untuk kegunaan pembelajaran mereka di rumah.
Anak-anak Zulhashimi gembira menerima dua tablet untuk kegunaan pembelajaran mereka di rumah.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang tukang besi di Kampung Hujung Mergong, di sini bersyukur empat anaknya tidak lagi perlu berkongsi telefon pintar bagi menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Zulhashimi Zainol Abidin, 41, berkata, dia tidak menyangka anak-anaknya terpilih untuk menerima sumbangan dua tablet daripada Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah dan Kelab Belia Darulaman pada Isnin.

Katanya, sebelum ini empat daripada lima anaknya Nursyahira,15, Huzaifah,12, Mohd Ajmal,10 dan Mohd Uwais, 7, terpaksa berkongsi telefon pintar ihsan seorang rakannya pada tahun lalu.

"Rakan saya itu membeli telefon pintar baharu jadi yang lama itu dia berikan kepada saya untuk kegunaan anak-anak, tetapi memandangkan anak-anak saya ramai jadi mereka terpaksa berkongsi untuk mengikuti kelas secara dalam talian," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak yang terlibat termasuk Guru Besar Sekolah Kebangsaan Mergong, Shuhaime Che Pa kerana prihatin dengan nasib anak-anaknya.

Syed Mohd Johan Rizal (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan dua tablet kepada anak-anak Zulhashimi di rumah mereka di Kampung Hujung Mergong, Alor Setar pada Isnin.
Syed Mohd Johan Rizal (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan dua tablet kepada anak-anak Zulhashimi di rumah mereka di Kampung Hujung Mergong, Alor Setar pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar berkata, pihaknya tidak membuka permohonan kepada orang ramai bagi mendapatkan tablet terbabit sebaliknya meminta bantuan pihak sekolah untuk mengenal pasti pelajar yang memerlukan.

"Ini kerana pihak sekolah lebih mengetahui mengenai latar belakang pelajar mereka yang betul-betul memerlukan sumbangan tablet ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Syed Mohd Johan Rizal, pihaknya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang yang menghulurkan dana bagi menjayakan sumbangan tablet ini.

"Setakat ini kita sudah berjaya membeli 25 buah tablet hasil sumbangan terbabit dan saya menyeru sesiapa sahaja termasuk individu atau syarikat korporat untuk turut menyumbang.

"Kita sedar isu kelengkapan komunikasi terutama telefon pintar dan tablet ini menjadi keluhan masyarakat terutama golongan tidak berkemampuan terutamanya yang mempunyai anak ramai kerana mereka tidak mampu mengikuti PdPR dengan lebih berkesan," katanya.