Projek bas berpandu tanpa rel mula dibina tahun ini

ISMAIL
ISMAIL
A
A
A

JOHOR BAHRU - Projek pembangunan sistem bas berpandu tanpa rel di kawasan Iskandar Malaysia di bawah Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) dijangka bermula suku keempat tahun ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, projek berkenaan akan dimulakan selepas pengambil alihan tanah dan reka bentuk projek selesai dilakukan.

"Kita masih dalam peringkat awal pengambil alihan tanah. Selepas kelulusan diperoleh daripada pihak berwajib kerja- kerja fizikal akan dimulakan.

"Pada peringkat awal adalah projek pilot kita akan letak bas futuristik itu dahulu di jalan raya supaya ia dapat dilihat dan penilaian dibuat semua pihak.

"IMBRT yang mempunyai ciri-ciri berinovatif yang futuristik, bukan bas yang kita selalu lihat di atas jalan raya. Jenis bas yang akan digunakan IMBRT ini telah digunakan di kota besar seperti di Eropah," katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini pada Isnin.

Terdahulu berlangsung pelancaran Iskandar Malaysia 15 years Commemorative Campaign (IM15CC) yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad secara dalam talian.

Menurut Ismail, IMBRT merupakan pengangkutan awam yang akan dikendalikan secara automatik bukan secara pemanduan manusia.

"Inovasi ini melibatkan penggunaan 100 peratus elektrik bukan yang melibatkan talian rangkaian elektrik di atas. Tetapi elektrik berdasarkan kepada bateri yang bas itu bawa. Bateri elektrik ini akan dicas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihaknya akan untuk mengumumkan butiran lebih lanjut mengenai projek itu menerusi satu taklimat dalam masa terdekat.

Kerajaan Pusat menerusi Belanjawan 2021 menyalurkan peruntukan sebanyak RM780 juta kepada Johor yang sebahagian daripadanya untuk projek IMBRT berkenaan.

IRDA menjangkakan pelaksanaan IMBRT memberi alternatif kepada penduduk di bandar tersebut selain mampu mengurangkan kesesakan, merangsang ekonomi setempat dan mengurangkan kos sara hidup penduduk.