Ingkar PKP: Polis kompaun 12 samseng jalanan

Polis menggunakan kereta biasa bagi menahan individu ingkar PKP dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tali Air 9, Sungai Leman, Sekinchan pada Ahad.
Polis menggunakan kereta biasa bagi menahan individu ingkar PKP dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tali Air 9, Sungai Leman, Sekinchan pada Ahad.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seramai 12 individu berusia antara 15 hingga 24 tahun dikompaun dalam Op Samseng Jalanan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berkumpul dan bersiar-siar di Jalan Tali Air 9, Sungai Leman, Sekinchan, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya sebelum ini membuat pemantauan dan risikan berhubung aktiviti samseng jalanan yang aktif sepanjang PKP.

Menurutnya, operasi bermula jam 6.30 petang dan berakhir 9 malam itu diketuai dua pegawai dan 14 anggota dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

"Sebanyak 11 kenderaan diperiksa dalam operasi itu dengan 43 saman POL 257 dikeluarkan terhadap mereka atas pelbagai kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Agus Salim berkata, sebanyak sembilan kesalahan tidak memakai topi kalendar, manakala tujuh kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada lesen memandu.

"Kesalahan lain ialah nombor pendaftaran (enam), penunggang bawah umur 16 tahun (lima), tiada cermin sisi (empat), aksesori tidak sempurna (dua), ubahsuai ekzos (dua) dan gagal berhenti semasa pemeriksaan (satu)," katanya.

Beliau memberitahu, polis turut berpakaian preman dan menggunakan kereta biasa dalam operasi terbabit.

"Saman dikeluarkan terhadap semua individu yang diperiksa di bawah Peraturan 10 (1) Larangan Berhimpun dan Berarak," katanya.

Artikel Berkaitan: