Lelaki pernah diiktiraf remaja tertinggi selamat berkahwin

Sheikh Akmal bersama isteri dan keluarga mertuanya.
Sheikh Akmal bersama isteri dan keluarga mertuanya.
A
A
A

SEREMBAN - Lelaki yang pernah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai remaja tertinggi di negara ini dengan ketinggian 204 sentimeter (cm) pada tahun 2011 selamat mendirikan rumah tangga dengan pasangannya pada Sabtu.

Sheikh Akmal Sheikh Imam, 25, memilih Nabila Huda Mohd Yunus, 25, yang berasal dari Jelebu sebagai suri hatinya dan mereka diijabkabulkan dalam majlis ringkas di Masjid Kariah Sungai Pah di Jelebu.

Menurut Sheikh Akmal, dia membuat keputusan memperisterikan Nabila Huda yang mempunyai ketinggian 160cm selepas enam bulan berkenalan.

"Saya kenal dengan isteri di tempat kerja dan kami berkawan rapat. Saya tertarik dengan isteri kerana sikapnya yang sangat memahami dan tak sama dengan perempuan lain yang saya kenal.

"Masuk bulan keenam perkenalan kami, saya mengajak isteri berkahwin dan bulan September tahun lalu kami bertunang," katanya kepada Sinar Harian.

Pada awal perkenalan Sheikh Akmal berkata, dia tidak langusng menceritakan dirinya pernah diiktiraf MBOR sebagai remaja tertinggi Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, isterinya itu hanya mengetahui perkara tersebut apabila melihat laporan akhbar mengenainya yang digantung di dinding rumah.

"Waktu itulah saya baru cerita dengan isteri dan dia pun tak sangka sebab sepanjang kami berkawan dia tak pernah pula merasakan ketinggian saya ini sebagai luar biasa.

Artikel Berkaitan:

"Tapi saya masih ingat bila kali pertama jumpa dengan ayah dan mertua, mereka cakap tingginya saya. Paling kelakar saudara mara dan kenalan keluarga sebelah isteri pun cakap benda yang sama," katanya.

Selain itu, katanya, jika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) tidak dilanjutkan, dia merancang mengadakan majlis kenduri pada hujung bulan ini, namun tertakluk kepada prosedur operasi standard(SOP) ditetapkan.