Covid-19: Boleh guna rawatan Islam, tapi jangan pinggir rawatan moden

Ahmad Marzuk (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Dr Aminah (kanan) di Hospital Tumpat, Tumpat pada Isnin.
Ahmad Marzuk (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Dr Aminah (kanan) di Hospital Tumpat, Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Kaedah rawatan Islam seperti doa dan rukyah boleh digunakan sebagai rawatan tambahan pesakit Covid-19, namun jangan sesekali menolak kaedah rawatan saintifik dan moden.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, rawatan moden dan saintifik yang diguna pakai ketika ini juga merupakan sebahagian cara Islam kerana agama berkenaan bersandarkan kepada bukti.

Sehubungan itu, katanya, beliau meminta supaya semua pihak tidak keliru apabila terdapatnya cadangan supaya perawatan tambahan menggunakan kaedah Islam bagi merawat pesakit Covid-19.

"Jangan terkeliru bahawa cara Islam itu meminggirkan soal rawatan secara saintifik dan moden. Rawatan yang kita buat di hospital atau di mana-mana adalah mengikut cara agama, cara Islam.

“Cuma yang dimaksudkan (cadangan) barangkali adalah rawatan tambahan. Soal doa dan rukyah itu dibolehkan tetapi jangan menafikan rawatan secara saintifik ini kerana Islam itu sendiri adalah agama berasaskan bukti.

“Jadi apa yang kita buat di hospital ini ialah berdasarkan (kepada bukti) ada virus, ada vaksin dan doktor suruh kita makan ubat. Itu 'evidence based' (berasaskan bukti),” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan ketuhar konveksi kepada Pengarah Hospital Tumpat, Dr Aminah Rusmin Ghazali yang merupakan sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) bernilai RM 62,695.25.

Pada 26 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan cadangan daripada Timbalan Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kelantan, Hilmi Abdullah yang juga Perawat Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia (DarusSalam) supaya rawatan alternatif Islam boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,

sebarang rawatan alternatif merawat pesakit Covid-19 di negara ini termasuk perawatan Islam perlu menjalani kajian saintifik untuk mengetahui keberkesanan dan kesan sampingan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa sekali lagi menegaskan yang rawatan komplementari boleh dilaksanakan tetapi mesti digabungkan dengan rawatan moden.