Kes denggi di Negeri Sembilan menurun

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, pada minggu ke-4 ini sebanyak 16 kes sahaja dilaporkan di Negeri Sembilan.
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, pada minggu ke-4 ini sebanyak 16 kes sahaja dilaporkan di Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Bilangan kes demam denggi yang didaftarkan di negeri ini sehingga 30 Januari menurun 53 peratus iaitu sebanyak 86 kes sahaja berbanding tahun lalu, 183 kes pada tempoh yang sama.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pada minggu ke-4 ini sebanyak 16 kes sahaja dilaporkan.

Katanya, taburan kumulatif kes denggi di negeri ini adalah sebanyak 74 kes di daerah Seremban, Jempol (7), Tampin (4), satu kes di daerah Rembau, manakala daerah Port Dickson, Jelebu dan Kuala Pilah tidak mencatatkan sebarang kes.

"Tiada kes kematian denggi dilaporkan di Negeri Sembilan bagi tempoh sebulan ini sehingga 30 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, sehingga kini, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif ialah sebanyak lapan lokaliti, di mana tujuh lokaliti di Seremban dan satu lokaliti wabak di daerah Jempol.

Veerapan berkata, aktiviti pencegahan serta kawalan diteruskan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 22 Januari sehingga 4 Februari, dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes, yang ditumpukan di luar premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

"Masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan kawasan premis masing-masing 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat-tempat atau bekas-bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi.

"Memandangkan negara kita masih di dalam PKP, gotong-royong kendiri digalakkan di kawasan rumah masing-masing di samping menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

Artikel Berkaitan:

"Selain daripada itu, penggunaan aerosol di dalam rumah bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam premis kediaman turut digalakkan," katanya.