PdPR: Guru guna kostum adiwira, tarik minat murid belajar

Cikgu Syafik mengenakan kostum adiwira Spiderman ketika PdPR.
Cikgu Syafik mengenakan kostum adiwira Spiderman ketika PdPR.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sifat kanak- kanak yang gemarkan watak adiwira seperti Spiderman, Ultraman dan Power Rangers, memberi ilham kepada seorang guru Bahasa Inggeris, Syafik Md Yusof, 33, untuk memakai kostum adiwira ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rambah, Pontian itu memilih untuk memakai kostum adiwira sebagai salah satu langkah menarik minat murid darjah Empat, Lima dan Enam mengikuti kelas Bahasa Inggeris secara PdPR sejak dua minggu lalu.

Katanya, berlaku peningkatan ketara murid yang menyertai PdPR sewaktu beliau memakai kostum adiwira berbanding kelas pertama ketika tidak memakai sebarang kostum.

"Mula kelas PdPR dulu, saya tidak memakai kostum adiwira, hanya enam orang murid yang mengikut kelas ketika itu. Agak kecewa juga kerana ramai yang tidak mengikuti kelas saya.

"Saya melihat kanak- kanak memang suka watak superhero atau adiwira. Jadi saya kenakan kostum adiwira ketika PdPR dan hasilnya jumlah murid meningkat kepada 40 orang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Syafik, pendekatan memakai kostum bukan hanya menarik murid mengikuti kelas PdPR tetapi menyeronokkan malahan ada murid yang teruja memberikan cadangan pemilihan kostum adiwira untuk kelas seterusnya.

Cikgu Syafik mengenakan kostum adiwira Spiderman ketika PdPR.
Cikgu Syafik mengenakan kostum adiwira Spiderman ketika PdPR.

"Maklum balas yang diterima daripada murid juga menyatakan mereka gembira dan mudah faham apa yang saya ajar. Ini kerana mereka perlu berlatih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris ketika PdPR.

Artikel Berkaitan:

"Ada juga murid yang tidak dapat mengikuti kelas saya kerana masalah capaian internet memandangkan mereka tinggal di kawasan luar bandar selain tiada peranti seperti telefon dan komputer," katanya.

Jelasnya, pemakaian kostum adiwira bukanlah perkara baharu, kerana sebelum ini kostum berkenaan telah digunakan sewaktu sesi persekolahan awal tahun dibuka pada tahun 2019 bertujuan menarik minat murid kembali ke sekolah semula.

"Saya gembira pemakaian kostum adiwira dapat menarik minat murid untuk belajar Bahasa Inggeris secara PdPR. Walaupun tidak bersemuka seperti di dalam kelas, tetapi keterujaan murid-murid jelas terpancar setiap kali mereka mengikuti kelas secara PdPR.

"Saya harap dapat kembali mengajar di dalam kelas seperti dahulu, kerana terdapat murid yang berdepan kesukaran tiada alat peranti selain capaian internet yang lemah di kawasan luar bandar di sini," katanya.