X

Kindly register in order to view this article
!

Amanah Rembau tak puas hati pelantikan Penyelaras DUN Kota baharu

Muhammad Allif (dua dari kanan) menerima surat pelantikan sebagai Penyelaras DUN Kota disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun(dua dari kiri). Turut kelihatan Mk Ibrahim (kiri).
A
A

SEREMBAN – Pelantikan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan yang juga Ketua Pemuda Amanah Rembau, Muhammad Allif Ibrahim sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota yang baharu menimbulkan rasa tidak puas hati Amanah Kawasan Rembau.

Muhammad Allif yang juga Ketua Pemuda Amanah Rembau menggantikan Sahrizal Masrudin yang telah memegang jawatan itu sejak 2018.

Menerusi kenyataan Ketua Amanah Kawasan Rembau, Norwani Ahmat pada Sabtu, sepatutnya tiada pertukaran kerana ia sudah diputuskan dalam mesyuarat.

"Keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa (AJK) bermesyuarat pada 16 Januari lalu memutuskan agar tiada pertukaran dilakukan dan surat telah dihantar kepada Pengerusi Amanah Negeri Sembilan pada 17 Januari lalu.

"Namun saranan daripada Amanah Kawasan Rembau tidak dilayan dan ditolak. Keputusan dibuat menunjukkan pihak negeri tidak menghormati keputusan keseluruhan AJK Mesyuarat Amanah Kawasan Rembau," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah berusaha berbincang dan mengemukakan bantahan cawangan dan akar umbi di DUN Kota ke peringkat Amanah Negeri Sembilan berkenaan perkara itu.

Bagaimanapun katanya, pimpinan Amanah Negeri Sembilan yang terlibat tidak menghiraukan suara akar umbi.

"Kami Amanah kawasan Rembau bertegas bahawa Penyelaras DUN Kota yang diangkat oleh kepimpinan Amanah Negeri Sembilan bukanlah datang dari keputusan AJK Amanah Kawasan Rembau.

"Kami juga menegaskan tiada sebarang kerjasama ahli –ahli Amanah Kawasan Rembau kepada Penyelaras DUN Kota yang baharu," katanya.

Sementara itu Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Mk Ibrahim Abd Rahman berkata, perkara itu tidak sepatutnya dipanjangkan kerana pemilihan penyelaras yang baharu telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah Negeri Sembilan.

Kata beliau, kaedah pemilihan itu juga telah dipersetujui sebulat suara pada 29 November tahun lalu yang mana setiap kawasan dan sayap negeri diminta untuk menamakan calon.

"Jadi panel pemilihan yang bersidang semasa Mesyuarat Pengurusan Amanah Negeri Sembilan pada 21 Disember tahun lalu telah memilih calon yang dinamakan oleh Amanah Kawasan Rembau dan Pemuda Amanah Negeri Sembilan iaitu Muhammad Allif.

"Namun setelah keputusan diumumkan, Amanah Negeri Sembilan mendapat banyak tekanan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat," katanya.

Tuduhan mengatakan Amanah Negeri Sembilan membelakangkan keputusan Amanah Kawasan Rembau adalah tidak berasas.

Tindakan Amanah Kawasan Rembau ini menunjukkan ketidakpatuhan kepada keputusan yang telah diputuskan secara konsensus oleh Jawatankuasa Pimpinan Amanah Negeri Sembilan dan secara langsung tidak menghormati dan mematuhi keputusan parti.

"Dengan penjelasan ini kita berharap kemelut berkaitan penyelaras DUN Kota ini dapat dihentikan segera supaya gerak kerja menyantuni dan membantu masyarakat yang sangat terkesan dengan pandemik Covid-19 dapat diteruskan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!