Keluar perintah moratorium hentikan pembalakan, virus

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan disaran mengeluarkan perintah moratorium bagi menghentikan aktiviti pembalakan sebagai penyelesaian isu banjir besar dan penyebaran virus daripada haiwan liar.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, negara kini telah memasuki fasa darurat iklim yang menuntut tindakan segera untuk mengekang permasalahan tersebut.

Katanya, kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berhadapan dengan masalah untuk mengeluarkan perintah moratorium kepada semua negeri sekiranya kerajaan benar-benar mempunyai kemahuan politik yang tinggi.

“Perlu ditegaskan bahawa aktiviti pembalakan yang berleluasa dan penebangan hutan tanpa kawalan adalah punca utama berlakunya perubahan iklim dan menyebabkan bencana banjir besar di negara kita.

“Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku kini di mana tiada musim yang boleh dijangka berlaku mengikut masa seperti musim tengkujuh.

“Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa akhirnya berlakunya banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, isu pembalakan tersebut merujuk kepada kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengatakan bahawa sektor pembalakan dibenarkan beroperasi seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, perkara itu bercanggah dengan penjelasan perdana menteri bahawa pengisytiharan darurat dibuat bagi menyelesaikan yang dihadapi iaitu penularan wabak Covid-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri.

Artikel Berkaitan:

Menurut kajian, Faisal berkata, Covid-19 ialah dalam kategori ‘zoonotic diseases’ yang mana tidak ketara pada masa dahulu namun berbeza dengan situasi kini.

“Kajian yang dikeluarkan oleh ahli akademik Fakulti Pharmocology Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr Vellayan Subramaniam menjelaskan, pembangunan mega tanpa kawalan menyebabkan penebangan hutan dan pemusnahan habitat haiwan liar kini menjadikan kontak antara haiwan liar dengan manusia semakin menjadi kebiasaan.

“Maka, apabila haiwan liar tertekan mereka mengeluarkan virus berbahaya atau bakteria dalam badan mereka dan seterusnya boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia. Bagi jangka masa panjang, aktiviti pembalakan dan kemusnahan alam mempunyai hubungan langsung dengan bencana yang dihadapi kini iaitu penyebaran virus,” katanya.