Isu cuti Thaipusam: Tiada kaitan politik atau diskriminasi

Muhamad Mat Yakim, Laporan Sinar Harian berkaitan isu Thaipusam di Kedah.
Muhamad Mat Yakim, Laporan Sinar Harian berkaitan isu Thaipusam di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan Kedah untuk tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa adalah keputusan pentadbiran, tiada kaitan dengan politik mahupun elemen diskriminasi.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri adalah berlandaskan pertimbangan sewajarnya.

Menurutnya, bukan ahli politik sahaja yang terlibat dalam proses terbabit, malah turut disertai pegawai tertinggi pentadbiran negeri.

“Sebelum ini, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan Kerajaan Kedah lebih baik mohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan Thaipusam sebagai Hari Kelepasan Am di semua negeri.

"Dalam membuat keputusan ini, perlu difahami setiap keputusan tidak dibuat secara individualistik. Ia diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri setelah meneliti dan beri pertimbangan terhadap data daripada pelbagai pihak berautoriti, terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pihaknya kesal apabila ada pihak mengaitkan isu berkenaan dengan politik, semata-mata untuk mendapatkan perhatian dengan membangkitkan isu-isu sensitif berunsurkan kaum dan agama.

“Pihak luar harus berhati-hati berhubung isu yang menyentuh sensitiviti agama, tidak seharusnya membuat tuduhan melulu selain perlu mempunyai pengetahuan mencukupi.

"Sekali lagi saya ingin tegaskan, tidak timbul isu pembatalan cuti Thaipusam kerana Thaipusam tidak pernah dimasukkan dalam senarai cuti umum di Kedah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhamad berkata, terdapat lapan negeri yang tidak memasukkan Thaipusam sebagai cuti umum atau Hari Kelepasan Am mengikut Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) iaitu Kedah, Perlis, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Negeri-negeri yang menjadikan Thaipusam sebagai hari cuti umum adalah Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

“Cuti umum adalah cuti yang telah diwartakan sebagai Hari Kelepasan Am mengikut akta bagi negeri-negeri yang dinyatakan, manakala cuti peristiwa adalah cuti yang dicadangkan dan perlu dibawa kepada (MMK) untuk diluluskan.

"Prosedur atau proses mendapatkan cuti ini perlu dilakukan satu persatu, tidak boleh sekali lulus dan terpakai sampai bila-bila,” katanya.

Menurutnya, cuti peristiwa bukan cuti tetap atau cuti tahunan yang mesti diberikan setiap kali tiba harinya.

“Oleh itu, dakwaan sesetengah pihak kononnya Menteri Besar Kedah membatalkan cuti Thaipusam di Kedah adalah tuduhan tidak berasas,” katanya.

Pada 20 Januari, Muhammad Sanusi mengumumkan Kedah tidak mengisytiharkan cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam pada 28 Januari selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman.

Rentetan itu beberapa pihak, antaranya MIC, pemimpin politik, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta NGO tampil mempertikai tindakan Muhammad Sanusi yang disifatkan bersikap berat sebelah.