Terengganu kutip lebih RM1.37 juta kompaun, ganti rugi kesalahan hutan

Roslan (tengah) mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan kenderaan anggota terlibat dalam Operasi Bersepadu Ops Katang di perkarangan Jabatan Perhutanan Terengganu, Batu Enam, Kuala Nerus pada Isnin.
Roslan (tengah) mengibarkan bendera sebagai simbolik pelepasan kenderaan anggota terlibat dalam Operasi Bersepadu Ops Katang di perkarangan Jabatan Perhutanan Terengganu, Batu Enam, Kuala Nerus pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS- Jabatan Perhutanan Terengganu mengeluarkan kompaun dan ganti rugi lebih RM1.37 juta ke atas individu dan pemilik kilang yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan hutan sepanjang tahun lepas.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, jumlah itu membabitkan 73 kes pelbagai kesalahan hutan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 kertas siasatan dibuka iaitu tujuh kes daripadanya selesai dituduh di mahkamah dan 24 kes dikenakan kompaun serta selebihnya tiada tindakan lanjut (NFA).

"Bagaimanapun pada tahun ini (2021), kami menyasarkan akan mengurangkan jumlah kertas siasatan yang diklasifikasikan berstatus NFA atas sebab tiada bukti kukuh," katanya pada Isnin.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Operasi Bersepadu Ops Katang, Jabatan Perhutanan Terengganu di dewan besar jabatan berkenaan di Batu Enam, di sini.

Kata Roslan lagi, operasi bersepadu yang dilancarkan itu adalah hasil kolaboratif Pejabat Hutan Daerah yang bertujuan mengekang dan mencegah sebarang aktiviti pembalakan haram atau kecurian apa jua khazanah negeri.

"Operasi yang disertai 55 pegawai dan kakitangan ini lebih tertumpu di premis-premis kilang berasaskan kayu di seluruh negeri selain melakukan intipan, rondaan dan semakan di 22 kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti meliputi Terengganu utara, barat dan selatan.

"Operasi yang dijangka berakhir pada 14 Febuari ini diyakini dapat memberi hasil positif terutama dalam sudut kehadiran penguatkuasaan meskipun pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

"Ini disebabkan kami percaya kejayaan sesuatu operasi bukan hanya diukur dengan jumlah tangkapan semata-mata, tetapi dengan kehadiran penguatkuasaan sepanjang masa juga akan membuatkan pesalah berfikir dua kali untuk melakukannya kerana takut," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan operasi bersepadu sebegini yang diadakan setiap tahun akan diteruskan pada masa akan datang dan dilihat membuahkan hasil apabila lebih ramai orang awam tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penerokaan serta pencerobohan hutan secara haram.

"Sebagai bukti, kami sudah menerima lima laporan kes berhubung kesalahan hutan dan kini kesemuanya masih dalam siasatan.

"Di samping itu, usaha ini juga didapati membantu sektor perhutanan di negeri ini memainkan peranannya sebagai salah satu penyumbang kepada hasil kerajaan negeri," katanya.