Kertas siasatan kes ajaran Islam Melayu hampir lengkap

Ahmad Marzuk ditemui pemberita selepas menyampaikan ketuhar konveksi kepada Hospital Tumpat pada Isnin.
Ahmad Marzuk ditemui pemberita selepas menyampaikan ketuhar konveksi kepada Hospital Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Kertas siasatan terhadap dakwaan ajaran Islam Melayu yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hampir lengkap dan dalam proses seterusnya sebelum pendakwaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kes itu diserahkan kepada JAIS kerana ia di bawah bidang kuasa agama negeri.

Menurutnya, siasatan masih lagi berjalan dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) akan memberikan kerjasama untuk memperkemaskan lagi siasatan.

"Setakat ini kita sangat berpuas hati dan dapat rasakan kredibiliti yang dipamerkan JAIS dalam melaksanakan tugas-tugas penyiasatan dakwaan ajaran Islam Melayu ini.

"Bila sampai kepada peringkat akhir, insya-ALLAH sekiranya ada kes penyelewengan (agama), pihak berkuasa akan melakukan langkah seterusnya iaitu proses pendakwaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ketuhar konveksi kepada Hospital Tumpat di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN JAIS siasat ajaran Islam Melayu: Zulkifli

Ahmad Marzuk berkata, pihaknya menerima laporan sebaik sahaja tular video memperlihatkan satu ritual yang agak asing kepada orang Islam baru-baru ini.

Katanya, kes tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat dan satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

"Satu lagi ajaran di Pahang iaitu Doktor Awang Masri juga akan dipanjangkan kepada Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Islam pada 16 Februari nanti untuk diteliti kandungan ajaran adakah benar atau sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan individu melakukan upacara paluan gong dipercayai ritual ajaran agama Melayu di sebuah pulau yang dipercayai Pulau Besar.

Video tersebut turut mengaitkan seorang individu dikenali sebagai Ibu Yati yang dikatakan membawa ajaran berkenaan.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu dibawakan individu terbabit.

Beliau berkata, kelahiran agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu itu menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab serta mengakui membawa ajaran Islam Melayu.

Sementara itu, Ahmad Marzuk turut menasihatkan orang ramai supaya jangan cepat percaya sesuatu hanya berdasarkan video yang tular, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa yang lebih pakar untuk menjalankan siasatan.